Tangan pakai selipar jadi kaki. Sebak lihat pelajar OKU semangat ke sekolah. 'Ada kawan tak sengaja terpijak, saya mahu anak berdikari.'

MESKI dilahirkan serba kekurangan, namun cahaya mata bongsu daripada lima beradik itu seorang anak yang cukup baik dan menyenangkan hati.
Biarpun diuji dengan penyakit yang jarang dijumpai, Caudal Regression Syndrome iaitu tiada betis dan lutut berserta sumbing, namun itu bukan halangan buat Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, untuk bergaul dengan rakan sebaya di sekolah.
Menurut ibunya Siti Azah Mohd Jinal, 38, Shairid Hadif sudah diajar berdikari sejak kecil dan bergantung sepenuhnya pada tangan jika ingin bergerak ke mana-mana berikutan kakinya yang tidak terlalu kuat.
“Saya secara rutin rakam kegiatan adik (Shairid Hadif) di rumah dan apabila masuk prasekolah, sebagai mak memang berdebar tapi dia pula suka, tak ada masalah.
“Alhamdulillah, tak ada yang buli anak istimewa ini, cuma ada sekali dua kawan tak sengaja terpijak sebab tak nampak dia di bawah (lantai). Selepas itu, mereka dah tahu dan lebih berhati-hati.
“Saya tahu ramai ibu bapa di luar sana yang risau saya biarkan sahaja dia bebas buat apa-apa. Iya betul sebab memang diajar berdikari sejak kecil, tapi masih di bawah pemantauan saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Memasuki sesi persekolahan pada 2025, ibu bapa sibuk menghantar anak mendaftar masuk ke sekolah sambil memuat naik gelagat masing-masing sempena hari pertama kembali ke sekolah.
Kegigihan si kecil
Demikian juga dengan wanita yang bekerja sebagai peniaga kuih.
Kisah anak syurganya itu meraih perhatian ramai bilamana beliau memuat naik hantaran video mengenai anaknya pertama kali merasai suasana di sekolah.

Hantaran tersebut cukup menyentuh hati dan membuatkan ramai sebak, lebih-lebih lagi melihat kegigihan si kecil itu yang berjalan tanpa bantuan sokongan serta bergantung penuh pada kedua-dua tangan.
Hantaran yang dimuat naik di TikTok itu memperoleh lebih 116,000 tanda suka, 6,180 komen, bahkan 19,000 perkongsian dan 2.5 juta tontonan.
Siti Azah memaklumkan, beliau tidak menyangka video terbaharunya menjadi tular kerana sebelum ini sudah sering berkongsi tentang kegiatan anaknya itu.
Mereka sekeluarga menetap di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor.
Ungkap ibu tabah itu, perkongsian berkenaan dianggap sebagai satu langkah untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa di luar sana bahawa anak syurga tidak patut dibiarkan begitu sahaja.
“Disebabkan video ini tular, ada yang komen guru tak ambil peduli. Bukan begitu, mereka tak salah cuma saya yang degil mahu tengok anak berjalan sendiri.
“Dengan perkongsian begini, saya harap ia sedikit sebanyak mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat terutamanya ibu bapa yang ada anak OKU.
“Alhamdulillah ramai yang cakna dan sayangkan Shairid Hadif, saya memang terkejut tapi dalam masa sama bersyukur sangat,” ujarnya yang merupakan seorang ibu tunggal.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang