'Mak saudara saya meroyan selepas kematian anak...' Wanita langgar maut 3 pelajar tiada rekod sakit mental, tak pernah dapatkan rawatan

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KISAH kematian tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang dirempuh kenderaan utiliti sukan Honda CRV dipandu oleh seorang wanita terus diperkata ramai.

Tidak tertahan rasanya melihat kepiluan dan kesedihan ahli keluarga mangsa. Manakan tidaknya, sekelip mata ibu bapa hilang anak buat selama-lamanya.

Walaupun suspek telah ditahan, namun dikhabarkan pelaku wanita yang berasal dari Kampung Sura Tengah, Dungun itu kurang siuman. Malah, dia katanya tidak pernah mendapatkan mendapatkan rawatan penyakit mental.

No Image Caption

Bukan itu je, wanita berusia 49 tahun itu disahkan tidak pernah direkodkan di mana-mana fasiliti kesihatan negeri Terengganu.

Malah, hasil semakan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong juga tidak dapat dipastikan sama ada wanita tersebut ada dan pernah mendapat rawatan mental di negeri lain.

No Image Caption

Menerusi ruangan komen di Facebook, seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai anak saudara pelaku mendedahkan, wanita berkenaan mengalami meroyan selepas kehilangan cahaya matanya.

Artikel Berkaitan:

"Ini mak saudara saya, dia memang meroyan selepas kematian anaknya.

"Apapun, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, kalau salah tetap salah.

"Saya doakan agar dipermudah segala-galanya," kata pemilik akaun Tengku Monolisa.

No Image Caption



Sementara itu, suami kepada wanita berkenaan, Azhar Ahmad, 53, menjelaskan isterinya mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental selepas terpaksa menggugurkan kandungan anak keempat mereka 10 tahun lalu.

Beliau yang mewakili wanita itu memohon maaf kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit.

Lapor portal berita tempatan, beliau memang mempunyai niat daripada awal untuk memohon maaf selepas kejadian berkenaan berlaku, mahu berjumpa ahli keluarga mangsa dan meminta maaf. Namun ia ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa.

Jelas Azhar, isterinya seorang isteri yang baik dan penyayang, sebelum mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental.

"10 tahun lalu ketika hamil anak keempat, doktor mengesahkan isteri mengandung di luar rahim dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

"Ketika mendapat rawatan di hospital di Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah. Selepas sedar dari koma, isteri mula alami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap sendirian.

No Image Caption



"Sudah puas saya berubat, termasuk secara tradisional.. apa sahaja saya lakukan namun semuanya tidak berhasil," katanya yang sudah berkahwin 30 tahun dengan pasangannya.

Azhar turut menceritakan ketika kejadian, beliau sedang menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama anak bongsu apabila isterinya keluar rumah sambil memandu kereta.

Beliau sangat kesal dengan dengan tragedi itu mendedahkan sudah menyorokkan kunci kenderaan sebelum kejadian.

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian bersama anak bongsu sebaik dihubungi rakan yang memaklumkan kenderaan SUV miliknya terbabit kemalangan. Azhar juga mengakui terkejut melihat mayat pelajar di atas jalan raya.

"Saya ingat seorang mangsa, rupanya tiga orang. Saya cuba cari ahli keluarga mangsa di tempat kejadian ketika itu tetapi semua orang luar Dungun.

No Image Caption



"Kemudian saya diarah polis untuk ke balai bagi diambil keterangan," katanya yang memaklumkan cuba bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun namun dinasihatkan agar tidak bertemu bagi mengelak kekecohan.

"Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya dah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi," katanya.

Azhar juga berharap pihak pengurusan UiTM membantunya untuk bertemu keluarga penuntut terbabit untuk memohon maaf.

Terdahulu, tindakan wanita itu merempuh dua motosikal yang dinaiki pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor menyebabkan nyawa tiga pelajar itu melayang.

Manakala seorang lagi pelajar, Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera parah di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.

Difahamkan, kejadian di hadapan UiTM Dungun itu menyaksikan keempat-empat mangsa yang baharu selesai makan malam dan dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menunggang motosikal.

No Image Caption

Bagaimanapun, pada pukul 7.35 malam, motosikal yang ditunggang dilanggar pada bahagian belakang menyebabkan tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat patah tulang leher, cedera di kepala dan dada manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Dungun.

Wanita berkenaan yang direman hingga Ahad kelihatan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu dalam keadaan seperti terpinga-pinga.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Warganet rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati dan mahu keluarga mangsa mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan keadilan.

"Harap keluarga mangsa dapat keadilan. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

"Kalau setakat claim ada sakit mental tapi tidak buat medical check. Harap keluarga mangsa dapat menang kes ataupun diberikan pampasan."

"Harap pelaku diberi hukuman yang sewajarnya dan setimpal kesilapan yang dilakukan. Kerananyatiga nyawa dah melayang."

Sumber: Sinar Harian, FB Sinar Harian, Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang