'Mak teruja naik helikopter…” – Anak tak sangka detik ceria ibu bertukar cemas dalam nahas PDRM

No Image Caption
A
A
A

KETERUJAAN seorang ibu berkongsi gambar swafoto dari dalam helikopter bertukar menjadi detik cemas buat ahli keluarga apabila pesawat yang dinaikinya terhempas di Sungai Pulai, Khamis lalu.

Mohamad Hariz Akmal Mohd Jais, 21, anak bongsu kepada Sarjan Siti Latipa Khairuddin, berkata, ibunya sangat teruja untuk menaiki helikopter tersebut dan sempat memuat naik gambar dirinya dalam pesawat itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Mak memang teruja sangat. Sehari sebelum kejadian, dia dah cerita pada kami yang dia akan naik helikopter. Masa hari kejadian, mak sempat hantar gambar dalam kumpulan WhatsApp keluarga, dia duduk dalam helikopter, senyum,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Sabtu lalu.

Namun, kegembiraan itu hanya sementara apabila kira-kira setengah jam selepas gambar dikongsi, kediaman mereka di kuarters Balai Polis Tanjung Kupang dikejutkan dengan kehadiran anggota polis yang memaklumkan helikopter berkenaan telah terhempas.

“Bila polis datang beritahu, kami sekeluarga terus bergegas ke hospital walaupun lokasi kejadian cuma 10 minit dari rumah,” katanya.

Difahamkan, helikopter yang dinaiki ibunya itu merupakan sebahagian daripada operasi lintas hormat dalam demonstrasi keselamatan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).

Demonstrasi itu melibatkan kerjasama empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Helikopter jenis AS355N itu dinaiki lima pegawai Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

No Image Caption

AKTIFDALAM MISI 

Sarjan Siti Latipa merupakan antara mangsa yang terselamat dalam nahas itu.

Menurut Hariz yang juga pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, ibunya kini berada dalam keadaan stabil namun masih dalam proses pemulihan.

“Alhamdulillah, mak sekarang dah boleh bercakap dan jawab soalan. Tapi doktor masih tak benarkan makan makanan keras. Setakat ini, mak hanya boleh minum air kosong dan susu,” ujarnya.

Katanya, ibunya mengalami kecederaan serius termasuk patah di kedua-dua buku lali, retak di bahagian pinggul kiri serta luka dan lebam di beberapa bahagian badan.

Meskipun kejadian itu amat mengejutkan, Hariz berkata mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima ujian ini dengan hati terbuka.

“Mak seorang yang sangat berdedikasi dengan tugas. Walaupun dah berusia, dia tetap aktif dalam misi dan operasi,” katanya.

Tambahnya, ibunya sering berpesan agar adik-beradik saling bantu-membantu, kuat semangat dan tidak mudah berputus asa dalam apa jua situasi.

Kini, fokus keluarga adalah untuk memastikan Sarjan Siti Latipa menerima rawatan terbaik agar pulih seperti sediakala.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang