Menari tanpa seurat benang, program motivasi rumah tangga songsang bikin kontroversi. Ini pesanan Ustazah Asma'


KECOH di Facebook dua wanita didakwa telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.
Menerusi pendedahan seorang pengguna media sosial, program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri didakwa membabitkan aksi tidak senonoh.
Selain itu, peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.
Tidak hanya itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Pendedahan tersebut mengundang kemarahan dan kritikan masyarakat.

Acara yang dipercayai diadakan pada September tahun lalu telah mendapat perhatian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyiasat kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil agar maklumat diperoleh dengan jelas sebelum sebarang tindakan wajar diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Jakim mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu yang melibatkan penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga,” katanya.

Menurut Sirajuddin, kerajaan melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam, khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun menyeru mereka yang terlibat untuk bertaubat.
"Astaghfirullahalazim, moga ALLAH ampuni kita semua. Memualkan, tidak mampu baca sampai habis.
"Kepada yang terlanjur terlibat, moga bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu menyesali dengan hati, meninggalkan terus sepenuhnya dan nekad tidak mengulangi lagi.
"Selepas taubat nasuha, semua lubang ditutup dan laluan diputuskan untuk berhubung dengan kumpulan ini, kerana tarikan untuk kembali itu juga kuat.

"Sudah hanyut dan terpukau, sudah terlanjur terlibat bukan mudah untuk berpatah balik. Insya-ALLAH anda kuat. Anggap ia satu pengajaran yang amat berharga dalam hidup.
"Moga pihak berwajib segera bertindak dan menghentikan gerakan merosakkan akidah dan akhlak umat Islam ini," kongsinya.
Dalam pada itu, beliau juga menyarankan manusia yang ingin mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan menggunakan jalan yang betul di samping menilai setiap satu dengan akal.
"Program ini dah lama ada kontroversi, sekejap timbul dan tenggelam. Saya fikir ia telah dibaiki selepas diberi teguran banyak pihak, tak sangka sebenarnya makin jauh tersasar.
"Betapa manusia terdesak mencari bahagia yang diukur dengan dunia, sanggup melalui proses yang bila diukur dengan akal amat mudah untuk menilai ia jelas haram, kotor dan hina.
"Jalan bahagia, tenang dan kaedah melepaskan masa lalu telah lama ada dalam al-Quran, Hadis, dan Sunnah yang Nabi SAW ajarkan kepada kita.
"Kenapa manusia suka mencari jalan tersembunyi yang penuh keraguan, sedangkan laluan terang dan mudah terbentang depan mata.
"Melangkahlah kaki ke masjid atau ke majlis ilmu, solat dan bacalah al-Quran insya-ALLAH akan dapat jawapan.
"Tidak ada istilah kelahiran semula untuk semangat atau jiwa atau diri. Yang ada ialah bersihkan daripada dosa, mudahan kita ibarat bayi baru lahir, suci dan bersih," titip Asma'.
Sumber: Sinar Harian, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
