'Mereka datang mengantuk, saya suruh tidur dulu...' Adik sayu suapan abang rupanya yang terakhir, sempat pesan jaga emak

No Image Caption
A
A
A

 

HILANG enam ahli keluarga sekelip mata dalam tragedi tentunya tidak mudah.

Adik kepada mangsa maut kereta terjunam di Sungai Korok, Jitra, Kedah, Nur Adliah Shuhada Ishak, 26, meluahkan rasa pilu kerana kehilangan abang, Mohammad Azim Izat Ishak, 32, buat selama-lamanya.

Dia turut mengimbas kembali malam yang menjadi kenangan terakhir bersama arwah abang yang sangat rapat dengannya.

"Saya memang manja dengan abang.

“Biasanya saya yang minta dia suapkan makan, tapi malam itu, dia sendiri suap saya tanpa diminta.

"Itu bukan kebiasaan... seolah-olah dia tahu itu kali terakhir.

"Tak sangka, itu kali terakhir saya bersama abang,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dalam luahan penuh sebak Nur Adliah Shuhada Ishak, 26, turut menceritakan detik akhir bersama abangnya bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak-anak mereka singgah di rumahnya di Taman Seri Aman pada malam Jumaat lalu kerana terlalu mengantuk.

“Mereka datang dan beritahu mengantuk, jadi saya suruh mereka tidur dulu. Biasanya mereka akan pulang ke rumah di Jerlun awal pagi.

“Tapi jam 5.30 pagi itu mereka sudah tiada. Saya sangka mereka dah balik seperti biasa..sehinggalah ibu mentua abang telefon dan beritahu mereka tak sampai-sampai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nur Adliah juga meluahkan kepiluan tidak sekadar kehilangan abang, tetapi anak-anak saudaranya yang sangat rapat dengannya.

Malah katanya yang bongsu, Tuah Haidar, enam bulan adalah yang paling rapat sementelah dia merupakan ibu susuan bayi berkenaan.

Dalam pada itu, wanita itu turut mendedahkan, keluarga abangnya baharu sahaja kehilangan seorang anak lelaki kembar pada Februari lalu.

'Abang pesan jaga mak' - Adik

No Image Caption

Seorang lagi adik mangsa, Muhammad Adlan Solehin Ishak mendedahkan, arwah abangnya sempat berpesan supaya menjaga ibu mereka.

"Last (kali terakhir) jumpa arwah hari Jumaat sebelum kejadian, kami makan sekali, dia memang selalu pesan minta jagakan emak tapi kali ini pesan banyak kali... tak sangka itu pesanan terakhir abang.

“Saya reda dengan pemergian mereka, tapi masih terbayang keletah anak-anak saudara saya. Terlalu banyak kenangan,” katanya dalam nada sayu.

Mangsa tragedi dikenal pasti sebagai Mohammad Azim Izat, isterinya Nurul Hidayah, serta empat anak mereka: Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haidar, enam bulan.

Anak sulung pasangan itu, Puteri Qisya, 12, tidak mengikuti keluarga dalam perjalanan tersebut.

Sumber: Sinar Harian 1, 2

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang