‘Mula-mula rasa dekat badan, kemudian naik ke dada terus ke leher’ - Penunggang motosikal nyaris maut dijerut tali layang-layang

No Image Caption
A
A
A

SEORANG penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila lehernya dililit tali layang-layang ketika sedang melalui lebuh raya berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu nyaris mengundang maut kepada Muhammad Faris Rosaidee, 27, yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu Caves ke Bandar Sri Damansara untuk bertemu dengan rakan.

Menurutnya, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) merupakan laluan yang sering digunakan, namun tidak menyangka ada bahaya yang menantinya di situ.

No Image Caption

Penjawat awam itu berkata, dia langsung tidak nampak tali layang-layang itu dan hanya sedar apabila terasa sesuatu terkena pada badannya.

Lebih mencemaskan apabila tali tersebut tidak putus serta-merta menyebabkan dia hanya mampu bertahan sambil memperlahankan motosikal dalam keadaan leher yang masih terjerut.

“Mula-mula rasa dekat badan, selepas itu tali naik ke dada kemudian terus ke leher. Waktu kejadian saya pakai jaket, baju dan bawa beg galas tetapi semua koyak. Bahu saya pun luka.

No Image Caption

“Saya tak boleh berhenti terus begitu saja sebab kiri kanan ada kereta, jadi saya cuma perlahankan motosikal dan tunggu tali dekat leher putus sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faris turut meluahkan rasa kelegaan kerana memakai pelindung muka khas yang turut menutup bahagian leher ketika kejadian berlaku, sekali gus dapat mengurangkan kecederaan serius.

No Image Caption

“Saya sudah pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan doktor beritahu hanya lapisan pertama kulit yang terjejas seperti melecur. Saya juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak.

“Untuk laporan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah dibuat malam semalam, jadi sekarang saya hanya tunggu keputusan maklum balas daripada mereka,” ujarnya.

No Image Caption

Sementara itu, DBKL dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, pihaknya telah mengambil tindakan susulan dengan mempergiat pemantauan aktiviti di kawasan tersebut bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut meletakkan papan tanda amaran keselamatan di sekitar kawasan taman bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang