Mulianya hati! 37 tahun Zulkarnain derma darah, warga emas ini terus menyumbang kali ke-477. 'Tak terkira jumlah pesakit dibantu...'
TIDAK semua hero memakai pakaian seragam. Mulianya hati lelaki ini mendermakan darah biarpun sudah memasuki usia emas.
Menerusi sebuah hantaran Facebook @dermadarahkelantan, individu dikenali sebagai Zulkarnain menyerahkan titisan berharga itu sejak tahun 1988.
Setiap kali menderma, hakikatnya anda menyelamatkan tiga nyawa. Bayangkan sudah berapa banyak nyawa telah diselamatkan beliau menerusi sel darah merah, plasma dan platelet lagi yang disumbangkan!
Artikel berkaitan:
- Wanita Terengganu antara 43 orang di dunia miliki ‘darah emas’ paling ‘rare.’ “You are the special one sis!”
- Lelaki derma darah paling kerap, 632 kali dalam 30 tahun diiktiraf Malaysia Book of Record
- Selamatkan nyawa dengan derma darah
- Hanya 43 manusia di dunia miliki darah emas termasuk seorang rakyat Malaysia. Ini fakta yang perlu semua tahu
Menghargai pengorbanan Zulkarnain, pihak Derma Darah Kelantan menzahirkan ucapan penghargaan buat Zulkarnain yang kini menetap di negeri itu.
“Tahniah dan terima kasih kepada Encik Zulkarnain. Sudah 37 tahun beliau menderma darah, tak terkira jumlah pesakit beliau telah bantu.
“Encik Zulkarnain telah menderma darah lebih 400 kali, menderma darah sejak dari tahun 1988 lagi.
“Beliau menjadi penderma aferesis tetap di Pusat Darah Negara. Beliau yang kini menetap di Kelantan meneruskan pendermaan darah di sini pula.
“Kali ini beliau menderma untuk kali ke-477,” ujarnya.
Menerusi catatan pada buku rekod derma darah, Zulkarnain yang merupakan penderma aferesis tetap Pusat Darah Negara juga mendermakan darah utuh (whole blood).
Kagum dengan pengorbanan yang dicurahkan Zulkarnain, netizen meluahkan rasa bangga dan memuji inisiatif Zulkarnain yang mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi sebagai warganetara.
"Terbaiklah pakcik 477 kali. Saya baru 32 kali. Semoga boleh mengikuti jejak langkah pakcik."
"Saya bersalin dan ada komplikasi hingga perlukan transfusi 22 pek darah. Selepas itu saya sendiri jadi penderma 4 kali setahun. Setahun 16 pek darah saya kembalikan. Pakcik jadi inspirasi!"
"1988 hingga 2024 bermakna 36 tahun. 477 kali bahagi 36 tahun bersamaan 13.25 kali. Ini bermakna purata pakcik ini menderma darah ialah 13 kali setahun derma. Aku rasa pakcik ini penderma tegar. Semoga panjang umur pakcik."
"Di situ pahala tuan. Terima kasih, hanya ALLAH yang mampu membalasnya. Semoga sentiasa dalam perlindungan ALLAH."
10 INFO DERMA DARAH ANDA PERLU TAHU
1-Setiap darah yang didermakan akan melalui satu proses pengasingan untuk mengasingkan sel darah merah, platelet dan plasma.
2-Sel darah merah, plasma dan platelet yang telah diasingkan dan diberikepada pesakit mengikut keperluan masing-masing.
3-Selain daripada pendermaan darah utuh, pendermaan aferesis, yang mana penderma hanya akan menderma plasma atau platelet kerana sel darah merah akan dipulangkan ke badan penderma.
4-Penderma aferesis boleh menderma darah sekerap setiap dua minggu ataupun setiap bulan.
5-Selain diperlukan untuk kes kehilangan darah ketika kemalangan atau pembedahan serta demam denggi berdarah, keperluan plasma dan platelet sangat kritikal bagi pesakit yang menjalani pembedahan transplantasi, kanser dan kes penyakit hematologi seperti leukemia.
6-Penderma-penderma darah yang menderma di Pusat Darah Negara dan lain - lain tabung darah di hospital kerajaan layak mendapatkan rawatan percuma seperti berikut:
1 kali-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh empat bulan.
Dua kali (dalam tempoh 12 bulan)
-Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B
Dua hingga lima kali
-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh empat bulan.
Enam hingga 10 kali
-Percuma rawatan pesakit luar selama satu tahun dan rawatan perubatan kelas dua untuk tempoh enam bulan.
11 hingga 15 kali
-Percuma rawatan pesakit luar selama dua tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh satu tahun.
16 hingga 20 kali
-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh dua tahun.
21 hingga 30 kali
-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh tiga tahun.
31 hingga 40 kali
-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh empat tahun.
41 hingga 50 kali
-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh enam tahun.
7-Lebih 50 kali (bagi penderma whole blood) dan lebih 150 kali (bagi penderma aferesis)
8-Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu. Tempoh masa keistimewaan yang dinyatakan adalah sah digunakan bermula dari tarikh pendermaan terakhir.
9-Penderma hanya perlu menunjukkan buku sijil (buku merah) kepada pihak hospital sebelum layak menggunakan keistimewaan yang dinyatakan.
10-Kemudahan wad adalah bergantung kepada keadaan semasa. Sekiranya wad yang dinyatakan dalam jadual telah penuh, maka penderma akan ditempatkan di wad lain yang sesuai.
Menurut Pusat Darah Negara, keistimewaan berkenaan hanya boleh digunakan oleh penderma darah sahaja. Penderma darah yang berstatus penduduk tetap adalah layak untuk menggunakan keistimewaan ini.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang