Nahas bas UPSI: ‘Insya-ALLAH kalau panjang umur…’ Kenangan terakhir buat insan istimewa di hati arwah Nur Ainul Qistina
KISAH anak-anak UPSI yang meninggal dunia semasa tragedi kemalangan bas di Gerik masih lagi terngiang-ngiang di ingatan kita semua hingga kini.
Jika sebelum ini warga maya diselubungi rasa sedih dengan cerita cinta tidak kesampaian arwah Muhammad Mustaqim Rosde, baru-baru ini muncul pula luahan hati insan istimewa di hati arwah Nur Ainul Qistina Mat Ali.
Melalui perkongsian di akaun TikTok @muhammad_syazwan94, empunya diri Mohd Faiq Zainal, 22, telah menceritakan kepadanya luahan rindu yang tidak terungkap.
Arwah merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling semester 2 dan dikenali dalam kalangan rakan serta keluarganya sebagai seorang gadis yang menjaga akhlak, penampilan serta amal ibadah.
Walaupun masih muda, beliau cukup matang dalam pendirian, tidak pernah culas dalam solat dan sentiasa menjadi pengingat buat orang sekeliling termasuk Faiq — insan yang rapat dengannya sejak zaman pengajian.
Kenangan antara mereka bukan seperti pasangan muda tipikal yang sering mempamerkan kemesraan berlebihan. Hubungan mereka lebih banyak diisi dengan momen kecil tapi bermakna.

Bermain Mobile Legends bersama walaupun arwah tidak mahir, menonton Netflix dari jauh secara serentak dan mengunjungi kafe kucing sekadar untuk melihat reaksi comel haiwan peliharaan itu.
Memori yang paling tidak dapat dilupakan hingga kini bila Faiq pernah minta arwah masakkan kek coklat. Beliau senyum dan jawab, ‘Insya-Allah kalau panjang umur…’
Ayat itu, yang pada ketika itu sekadar disambut dengan senyuman kini menjadi memori paling pedih buat Faiq. Satu janji yang tidak sempat ditunaikan.
Arwah menyimpan impian besar dalam hidupnya. Bercita-cita menjadi guru dan sering berbicara tentang keinginan untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu dan nilai murni. Dia juga menanam harapan untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah.
Faiq turut berkongsi pesanan arwah yang sering menenangkan dirinya semasa berdepan tekanan atau kemurungan.
Beliau selalu cakap, ‘Jangan nangis…nanti sakit.’ Selalu ingatkan tentang solat, sabar serta sujud panjang mengadu kepada ALLAH kalau hati rasa galau.
Lebih sedih, mereka pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas tamat pengajian. Namun, ajal mendahului impian indah.
Kehilangan arwah bukan hanya memberi kesan kepada Faiq sebagai individu tetapi turut membuka mata ramai bahawa cinta yang berlandaskan keikhlasan, batas agama dan adab merupakan cara terbaik.
Bagi Faiq kini, cintanya bukan lagi tentang memiliki. Tetapi mendoakan. Bukan lagi tentang bersama di dunia tetapi menanti pertemuan di alam yang lebih kekal.
Semoga roh arwah Nur Ainul Qistina Mat Ali dicucuri rahmat. Al-fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
