NASOM perkenal logo baharu dan pejabat sekretariat, semarakkan sokongan untuk komuniti autisme

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) hari ini mencipta detik bersejarah apabila memperkenalkan logo baharu.

Dalam majlis yang sama, pihaknya turut merasmikan pejabat sekretariat baharu yang kini bertempat di  Ara Damansara, Petaling Jaya. 

Majlis perasmian disempurnakan oleh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Logo baharu itu membawa aspirasi NASOM untuk tampil dengan identiti yang lebih moden, progresif dan seiring dengan perkembangan semasa, sekali gus mencerminkan tekad berterusan persatuan dalam memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme di Malaysia.

Malah, pengenalan logo baharu itu bukan sekadar perubahan rupa, tetapi simbol semangat baharu bagi NASOM. 

Ia melambangkan keazaman persatuan untuk terus memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme, selaras dengan usaha berterusan memperjuangkan hak, peluang dan kualiti hidup individu autisme di Malaysia. 

Dalam ucapannya, Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, logo baharu tersebut merupakan medium pemerkasaan yang mencerminkan komitmen NASOM untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme dan keluarga mereka. 

No Image Caption

"Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong.

"Bukan itu sahaja, ia selaras dengan misi NASOM untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini,” katanya. 

Sejak ditubuhkan pada 3 Mac 1987, NASOM komited menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme melalui pelbagai program termasuk intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran. 

Kesedaran Autisme

Kini, NASOM mengendalikan 18 pusat di seluruh negara, memberi khidmat kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan pasukan seramai 120 kakitangan termasuk guru terlatih.

Menurut Pengerusi NASOM, Julian Wong, perasmian pejabat sekretariat berkenaan menandakan komitmen persatuan untuk terus memperkukuh perkhidmatan dan mendekatkan sokongan kepada komuniti autisme. 

“Di sinilah usaha, kerjasama dan inisiatif baharu akan digerakkan untuk memastikan lebih ramai individu autisme dapat menyertai dan berkembang dalam masyarakat,” ujarnya. 

No Image Caption

Selama lebih 38 tahun beroperasi di Malaysia, NASOM turut menjalin kerjasama dengan lebih 100 organisasi merangkumi syarikat korporat, agensi kerajaan, universiti tempatan dan industri kecil, sebagai sebahagian daripada komitmennya memperkukuh kefahaman dan peluang inklusif dalam masyarakat.

Dalam usaha mengekalkan kelangsungan operasinya, NASOM terus menggerakkan pelbagai inisiatif seperti pameran dan bazar kesedaran autisme, siri wacana, siaran langsung panel diskusi, program pengumpulan dana serta pertunjukan bakat melibatkan individu autisme. 

Sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, NASOM bergantung kuat kepada sokongan masyarakat.  Ia termasuklah sumbangan kewangan, yang sememangnya amat penting bagi memastikan lebih ramai individu autisme dapat menerima akses kepada perkhidmatan yang sewajarnya.

Dengan sokongan masyarakat, rakan korporat dan para penderma, NASOM yakin usaha ini akan membuka lebih banyak ruang penyertaan dan harapan buat individu autisme mencapai potensi terbaik mereka. 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang