Pantang orang lebih dari dia, mesti dengki! Hati-hati, mungkin anak anda ada 'mentaliti ketam'
Menjadi kebiasaan kalau anak-anak ada rasa daya saing dan cemburu dengan kejayaan kawan-kawan lain yang lebih hebat daripada mereka, terutamanya dalam pelajaran.
Mulalah terbit rasa persaingan antara mereka yang membawa kepada perubahan diri menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Namun, ada pula sebaliknya yang mana dek kerana iri hati dengan kejayaan rakannya, dia memilih untuk sabotaj mereka daripada bersaing secara sihat. Itulah yang dikongsikan oleh doktor Kamarul Ariffin di laman Facebooknya baru-baru ini.
Bagi yang belum mengetahui, pemikiran sebegini dipanggil 'Mentaliti Ketam'. Jom ikuti perkongsiannya.
“Kenapa awak sembunyikan buku kawan awak?”
Ada seorang ibu bawa anak dia ke klinik saya. Dia kata anak dia ni ada perangai suka sabotaj kawan-kawan yang lebih baik pencapaiannya dari dia. Selalu sangat.
Baru-baru ni cikgu beritahu dia sembunyikan buku yang mana di dalamnya terdapat kerja rumah kawan dia. Kawan dia ni selalu dapat markah lebih tinggi darinya.
Tahu tak? Set pemikiran seperti ini kita panggil “Ketam dalam baldi” atau "mentaliti ketam"
Mentaliti ketam merujuk kepada sikap seseorang yang tidak suka melihat orang lain lebih berjaya, sehingga sanggup menggagalkan usaha orang lain supaya tidak dapat melepasi pencapaian dirinya.
Mudah kata "kalau aku tak dapat, biar semua orang pun tak dapat."
Istilah ini diambil daripada pemerhatian terhadap perangai ketam di dalam baldi nelayan; jika satu ketam cuba memanjat keluar, ketam-ketam lain akan menariknya kembali supaya semua tetap terperangkap bersama.
Mentaliti ketam ni bukan terhad kepada kanak-kanak sahaja. Ia boleh juga ada pada orang dewasa!
Untuk mengelakkan kita dikuasai mentaliti ini, ada beberapa langkah boleh diambil:
1. Muhasabah diri: Kenali dan fahami emosi dan tindakan kita sendiri. Tanya diri sendiri kenapa kita cemburu atau tidak senang dengan kejayaan orang lain.
2. Berlapang dada: Terima hakikat bahawa setiap orang berhak mencapai kejayaan. Jika orang lain berjaya, tidak bermakna kita gagal.
3. Fokus pada pertumbuhan sendiri: Alihkan tumpuan dari membandingkan diri dengan orang lain kepada peningkatan diri dan capaian peribadi anda.
4. Tumpang gembira: Raikan kejayaan orang lain. Ini membantu menjalin hubungan yang positif serta mencipta persekitaran yang sihat di mana semua orang boleh maju.
Semoga kita semua dapat hindari diri dan anak-anak daripada mentaliti begini.
*Memang ada ibu bapa bawa anak mereka ke klinik untuk dinasihati. Kalau perlu kaunseling dan pemeriksaan lanjut, doktor akan buat rujukan kepada pihak yang sepatutnya.
Mungkin ibu bapa yang baru sedar anak ada perangai sebegini, cepat-cepat jumpa mereka yang lebih arif ya. Manakala bagi orang dewasa pula, anda sudah terlalu besar dan matang untuk bezakan perbuatan baik yang baik atau tidak. Malah tidak terlalu lambat untuk anda berubah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang