Patah balik ambil susu anak, isteri pilu suami pergi selamanya. 'Terima kasih ALLAH pinjamkan setahun 10 bulan'
KEHILANGAN orang tersayang adalah ujian yang paling berat, lebih-lebih lagi apabila yang pergi ialah tempat bergantung kasih seorang isteri dan ayah kepada anak kecil.
Setahun sepuluh bulan bersama, kini hanya tinggal momen indah untuk dikenang bersama anak mereka yang masih belum mengerti kehilangan sebenar seorang ayah.
Siapa sangka, tindakan suami dikenali sebagai Amir untuk berpatah balik untuk mengambil susu anak hanya menjadi detik terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

Sebak membaca perkongsian si isteri dikenali sebagai Mas benar-benar meruntun hati. Sajian terakhir yang diminta oleh suami, dikenali sebagai Amir, tidak sempat dijamah sebelum dia dijemput menghadap Ilahi.
"Suami saya ada minta masakkan sotong goreng kunyit. Saya masakkan dan tunggu suami balik kerja.
"Suami saya tidak sempat menjamahnya kerana syahid sewaktu balik kerja. Suami saya sebenarnya sudah balik awal tetapi disebabkan susu anak tertinggal di tempat kerja, dia berpatah balik untuk mengambilnya," kongsi Mas.

Lebih menyayat hati, ibu muda itu sempat mengimbas detik di lokasi kejadian.
Menurutnya, saat tiba di tempat kejadian, jasad suaminya ditemui dalam keadaan tenang, manakala kawasan sekeliling dipenuhi dengan tumpahan susu tepung anak mereka, seolah-olah menjadi simbol kasih terakhir seorang ayah buat zuriatnya.
"Sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya tau. Suami saya meninggal di tempat kejadian. Muka dan barang dibawa suami penuh dengan tumpahan susu anak.
"Alhamdulillah suami saya kemalangan, tapi keadaannya sempurna seperti tidur," tulisnya.
Difahamkan, dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves, pada 8.20 malam tadi melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan lori jenis Nissan Tipper.

Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah mekanikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
Memetik Harian Metro, mangsa berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan manakala pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.
Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta mengelak berhenti di laluan yang boleh membahayakan pengguna lain.
Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999.
Sumber: Threads
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
