Cinta sehidup semati - Isteri hamil 'pergi' dahulu, suami baru discaj hospital menyusul, pusara bersebelahan runtun hati warganet
PILU membaca berita pemergian pasangan ini. Takdir seolah-olah tidak mahu memisahkan cinta mereka walau selepas nyawa berpisah daripada jasad.
Si isteri yang sedang hamil, Wan Farahana pergi dahulu empat hari sebelumnya akibat kemalangan, meninggalkan suami yang masih cedera.
Namun, siapa sangka, belum sempat reda kesedihan keluarga, suami, Nurihsan Nordin pula menghembuskan nafas terakhir sebaik sahaja dibenarkan discaj dari hospital meninggalkan dua cahaya mata.
Perkongsian ibu saudara pasangan berkenaan, Wan Samira tular di laman sosial menimbulkan rasa sayu warga maya.
Memuat naik foto Nurihsan tersenyum di samping anak, lelaki itu dikatakan sempat menjamu selera dengan anak dan menikmati hidangan air tangan ibunya.

"Bagi yang mengenali anak saudara saya Nurihsan Nordin, jika dia ada hutang atau apa apa yang belum selesai boleh DM.
"Arwah telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Semalam discaj, sempat makan bersama anak anaknya. Anak anak suap abi.
"Ise (nama panggilan untuk Nurihsan) nak balik tengok anak anak ya, nak makan masakan ma buat kali terakhir.
"Ise suruh ma buat air oren semalam. Ise tak habis makan, Mokteh habiskan nasi Ise. Mokteh sayang Ise.
"Ise rindu Farah kan? Allahu, ujian berat penghujung tahun 2025," titipnya.

Difahamkan, Allahyarham sekeluarga terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di berhampiran Perumahan PPR Bukit Belah, Machang, Kelantan pada 19 Oktober lalu yang meragut nyawa isteri, Wan Farahana.
Dalam kejadian pada awal pagi itu, Wan Farahana yang sedang hamil meninggal dunia manakala Nurihsan mengalami kecederaan pada paru-paru, patah tulang pinggul dan gegaran otak.
Dua cahaya mata mereka bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Umpama sehidup semati. Biarpun berbeza ajal empat hari, pasangan berkenaan dikebumikan bersebelahan.

"B… B ikut sayang juga, ya?” “Sayang, B dah datang ni…”
"Allahuakbar. Agaknya beginilah dialog terakhir antara suami dan isteri ini — Farah dan Ise.
"Mokteh sudah pulang untuk menguruskan segala hal lain di rumah. Mokteh juga akan menjaga anak-anak arwah Ise dan Farah.
"Alhamdulillah, semua urusan pengebumian telah selesai dan berjalan dengan baik.
"Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan arwah berdua.
"Jika ada sebarang urusan berkaitan arwah Ihsan dan Farah, boleh hubungi saya. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus menitipkan doa buat kedua-dua arwah," kongsinya.

Terdahulu, media melaporkan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Mohd. Andera Md Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 11.32 malam, memaklumkan mengenai kejadian kemalangan jalan raya di lokasi berkenaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera dan tiba pada jam 11.41 malam.
Hasil siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Exora.
Warga maya rata-rata mengucapkan takziah dan mendokan keluarga pasangan berkenaan supaya tabah. Tidak kurang yang menitipkan semangat buat kedua anak pasangan itu yang masih kecil.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
