Penantian 4 tahun, Noor Azlinee dapat kembar tak seiras – Abang albino macam 'Mat Saleh', adik versi Melayu
EMPAT tahun bukan tempoh yang singkat untuk menanti hadirnya cahaya mata. Namun, bagi Noor Azlinee A. Kadir, segala penantian panjang itu terbalas dengan cara yang cukup manis.
ALLAH menghadiahkan wanita berusia 36 tahun itu dengan sepasang anak kembar lelaki yang membawa warna baru dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.
Lebih mengharukan, salah seorang daripada si kembar dilahirkan dengan keistimewaan yang jarang dimiliki—albino. Kulitnya puti

Tanpa ada sejarah keluarga, tanpa sebarang keturunan yang serupa, anak sulungnya, Che Muhammad Sollehin Che Azmi, menjadi satu-satunya albino dalam darah daging mereka. Sementara si adik, Che Muhammad Asyraf pula normal seperti kanak-kanak lain.
“Saya rasa teruja dan bersyukur bila dapat anak kembar setelah hampir 4 tahun lebih penantian nak jadi ibu.
"Saya rasa bangga sebab diberi peluang menjadi ibu kepada anak albino dan tiada sejarah atau keturunan.
"Sollehin satu-satunya yang albino dalam keluarga saya," kongsinya lagi kepada penulis ketika ditemu bual secara eksklusif menerusi alam maya.
Kata Noor Azlinee, segala lelah dan doa selama ini seakan terubat sebaik sahaja menatap wajah anak-anaknya buat kali pertama. Saat itu, dia tahu hidupnya tidak akan pernah sama lagi.
Kisah kembar tersebut kembali tular di media sosial baru-baru ini apabila ada portal yang kembali memuat naik gambar dan cerita mereka.
DUA JIWA BERBEZA
Kini, si kembar yang lahir daripada rahim yang sama itu sudah memasuki usia sembilan tahun.
Ternyata, semakin membesar, masing-masing punya dunia berbeza. Abang, Sollehin yang berambut perang, gemar bercakap dan punya semangat luar biasa.

"Dari kecil lagi dia sudah bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri. Karakternya introvert, namun dia mempunyai pandangan matang dan suka berbicara tentang perkara besar.
"Sementara adiknya, Asyraf pula jauh berbeza. Seorang yang lebih tenang, kurang bercakap, tetapi penuh dengan jiwa seni.
"Cita-cita Asyraf mahu menjadi seorang pelukis dan personalitinya yang extrovert membuatkan dia mudah bergaul dengan orang sekeliling," dedah si ibu lagi.
Bagi Noor Azlinee, perbezaan itu menjadikan kehidupannya lebih berwarna. Setiap hari ada sahaja gelagat kembar yang membuatkan hatinya terisi. Seorang bercakap tentang masa depan negara, seorang lagi leka dengan lukisan. Bagi seorang ibu, itu adalah gabungan yang unik tetapi sempurna.
Pun demikian, akui wanita itu lagi, membesarkan anak albino bukan sesuatu yang mudah.
Sejak lahir, anak lelakinya itu perlu menjalani pemeriksaan susulan dengan tiga orang pakar iaitu pakar kesihatan, pakar mata dan pakar kulit.

Setiap temu janji adalah ujian kecil buat Noor Azlinee, namun dia tetap tabah.
“Waktu kecil dulu Sollehin kena follow-up tiga pakar.
"Masuk umur dua tahun, hanya perlu jumpa pakar mata sahaja. Pakar kulit dah discaj sebab doktor sahkan kulit Sollehin normal. Cuma dia ada masalah penglihatan sahaja,” jelasnya.
Kini, fokus utama hanyalah pada masalah mata kerana Sollehin mengalami rabun jauh dan silau tinggi. Sejak kecil, dia sudah terbiasa memakai cermin mata untuk membantu penglihatannya.
“Alhamdulillah kesihatan lain semua ok. Hanya masalah mata sahaja silau tinggi dan rabun jauh. Dia kena pakai spek,” katanya lagi.
Walaupun ada cabaran, Noor Azlinee melihat semuanya sebagai anugerah. Baginya, setiap ujian kecil itu tidak pernah mengurangkan rasa syukur, malah menjadikan dia lebih kuat dan menghargai perjalanan ini.

HADIAH TERINDAH
Buat Noor Azlinee, menjadi ibu kepada kembar, salah seorang daripadanya albino umpama hadiah yang tak ternilai.
Jika dahulu setiap doa disulam dengan air mata, kini tidak lagi kerana air mata hadir dalam bentuk syukur dan kebahagiaan.
Dia percaya, setiap anak adalah rezeki. Ada yang lahir sempurna, ada yang membawa keunikan, tetapi semuanya adalah titipan Tuhan yang harus dijaga dengan sebaiknya.
Kisahnya mengingatkan kita bahawa kehidupan ini tidak pernah berjalan lurus. Kadangkala jalan berliku membawa kita kepada kejutan yang lebih indah.
Jika bukan kerana penantian empat tahun itu, mungkin nilai sebuah 'hadiah' tidak akan terasa semahal ini.

Hari-hari bersama Sollehin dan Asyraf menjadikan Noor Azlinee seorang ibu yang lebih kuat, sabar dan tabah.
Dia belajar menerima keunikan anaknya dengan hati terbuka, malah bangga kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.
Setiap kali melihat anak lelakinya itu dengan cermin mata di wajahnya, atau Asyraf dengan lukisan di tangannya, Noor Azlinee tahu bahawa kisah hidup mereka baru sahaja bermula.
Dan dia berjanji akan terus berada di sisi, membimbing, mendidik dan memberikan segala kasih sayang yang mereka perlukan.
Sumber: Facebook Noor Azlinee
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
