'Perginya lelaki yang paling dicintai selama 46 tahun...' Suami Ibu Hanim meninggal dunia, luahan sayu runtun hati warganet
GURU pembangunan organisasi dan kepimpinan terkenal, Datuk Faridah Hanim Haron atau dikenali sebagai Ibu Hanim berkongsi berita sedih suaminya, Jasmi Arbain menghembuskan nafas terakhir pada 12.55 tengah hari Ahad.
Ibu Hanim menerusi Facebook miliknya berkongsi luahan pilu menerima kehilangan suami tersayang.
"Pemergian seorang lelaki yang paling dicintai.
"Selesai sudah solat jenazah buat suamiku, Allahyarham Jasmi Arbain.
"Lelaki yang memegang hatiku sejak usia remaja. Lelaki yang ALLAH pinjamkan untuk ibu cintai sepenuh jiwa selama 46 tahun.
"Hari ini... ibu serahkan kembali dia kepada Pemilik sebenar," titipnya.

Lebih menyedihkan, menurutnya, pemergian Allahyarham Jasmi tersusun indah apabila lelaki itu hanya menghembuskan nafas terakhir selepas beliau pulang dari Kaherah, Mesir.
"ALLAH susun, seperti abang tunggu ibu balik dari Cairo. Baharu pergi," kongsinya.
Mengakui reda kehilangan suami tercinta, Ibu Hanim juga berkongsi saat terakhir pengebumian Allahyarham meruntun hati warganet.

"Tenang tubuhnya dibaringkan ke bumi, kembali kepada Pencipta Yang Maha Penyayang.
"Satu persatu tanah diturunkan dengan linangan air mata, doa dan kasih sayang.
"Ya ALLAH, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia.
"Muliakan tempat masuknya, lapangkan kuburnya dan bersihkanlah dia daripada dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kotoran.
"Jadikanlah kuburnya taman daripada taman-taman syurga. Terangilah tempat persemadiannya dan tempatkanlah dia dalam syurga-Mu yang tertinggi.
"Kurniakanlah ibu kesempatan untuk bertemu semula dengannya di syurga-Mu nanti, ya Allah. Aamiin," titip Ibu Hanim menerima hampir 1,000 reaksi daripada warga maya.

Kenalan yang rata-rata mengenai Allahyarham menyapa lelaki itu dengan panggilan Abah tidak henti mendoakan kesejahteraan.
Salah seorang daripadanya ialah pendakwah Ustaz Yaakub Yusra yang turut menitipkan takziah buat Ibu Hanim.
Ustaz Yaakub juga meluahkan rasa pilu dengan kehilangan Allahyarham yang merupakan penasihat pusat pembangunan dan pendidikan ummah Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

"Almarhum abah Jasmi Arbain bersama Ibu Hanim adalah penasihat rasmi kami di sini.
"Tadi abah pergi meninggalkan kita selamanya. Terima kasih abah atas kesudian bersama dengan MADAD sejak awal.
"Stay strong ya ibu, abah sudah lama sakit sekarang bagi abah rehat. Semoga setiap kebaikan yang berlaku di MADAD abah mendapat manfaatnya," kongsinya.
Sekadar info, Ibu Hanim dan Allahyarham Jasmi yang merupakan seorang juruterbang diijab kabul pada tahun 1985.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Firdaus, Farah Annesa dan Mohd Izzuddin Haziq.
Sumber: Facebook Ibu Hanim, Faridah Hanim Haron, Mohammad Yaakub Yusra
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
