Ibu Ustazah Asni meninggal dunia, keluarga hadiahkan bacaan 30 juzuk al-Quran
TAKZIAH buat pendakwah, Ustazah Asni Abu Mansor yang baharu kehilangan ibu tercinta Rupiah Suhada, 87, pada 6.38 malam Sabtu.
Ustazah Asni menerusi Instagram sempat berkongsi berita duka pemergian Allahyarham.
"Bonda saya baharu menghembuskan nafas terakhir pada 6.38 malam.
"Jenazah ibu akan dimandikan pada jam 9.30 pagi dan dikafankan pada 10 pagi manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Kariah Felda Pasir Besar," kongsinya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Pasir Besar.
Suasana pilu menyelubungi seisi keluarga Ustazah Asni susulan pemergian bonda tersayang.
Namun pendakwah itu sempat mengalunkan selawat qasidah ketika dalam perjalanan mengiringi ibunya di dalam van jenazah ke rumah.
Ia salin tidak tumpah sebagaimana kebiasaan beliau membacakan zikir dan selawat ketika menjaga ibunya masih hidup.

Malah, dalam kesedihan, Ustazah Asni seisi keluarga termasuk adik-beradik dan anak saudaranya sempat menghadiahkan bacaan 30 juzuk al-Quran secara bergilir-gilir buat Allahyarham Rupiah sebelum pengebumian.
Warganet tersentuh dengan perkongsian berkenaan menitipkan ucapan takziah.
Malah rata-rata terharu dengan titipan bacaan yang diberikan ahli keluarga buat arwah. Ujar mereka;
"Luar biasa nilai perkongsian beliau, mengajarkan dalam kelembutan, begini caranya ALLAH suka apabila kita diuji dengan kehilangan. Salam takziah ustazah. "
"Cantiknya hadiah buat bonda, bacaan al-Quran daripada anak dan cucu. Takziah buat Ustazah Asni dan keluarga. Al-Fatihah."
Terdahulu, Ustazah Asni yang merupakan pemegang hafizah dan pemegang Diploma Tahfiz al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pernah berkongsi momen menjaga ibunya yang uzur.
Tidak mengira penat dan lelah, penjagaan rapi yang diberikan kepada insan tersayangnya itu menjadi inspirasi buat warga maya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
