Pesara polis, bekas tentera jadi warden MRSM tangani buli dan masalah disiplin. 'Ibu bapa kedua, tiada toleransi salah laku'

No Image Caption
A
A
A

DALAM meningkatkan tahap disiplin dan keselamatan pelajar, Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil langkah proaktif dengan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook berkongsi peringkat awal pelaksanaan sistem berkenaan di dua buah maktab iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula minggu hadapan.

“Tegas pada prinsip, hikmah pada pendekatan. Dengar sebelum menghukum, nasihat sebelum menegur, memulih sebelum mendisiplin.

"Pagi ini saya bertemu dengan kumpulan pertama warden-warden MRSM lantikan sepenuh masa dari kalangan bekas-bekas polis dan tentera untuk menyampaikan amanat sebelum mereka memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula Isnin ini, " titipnya.

No Image Caption

Menurut Asyraf, langkah berkenaan diambil untuk untuk merealisasikan cadangan yang diutarakan pada April lalu sekali gus menghalang perlakuan buli dan tingkah laku tidak wajar dalam kalangan pelajar.

Malah, pemilihan calon untuk jawatan itu juga ketat melalui tapisan tertentu.

"Ini merupakan inisiatif terbaru Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang disamping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah saya sebut beberapa bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Warden-warden yang dipilih ini sudah melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temuramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dalam kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh Mara," jelasnya.

No Image Caption

Meskipun menggunakan khidmat bekas kaki tangan badan beruniform yang terkenal dengan disiplin ketat dalam menguatkuasakan undang-undang, Asyraf menekankan fungsi maktab sebagai rumah kedua para pelajarnya  yang memerlukan curahan kasih sayang.

"Dalam amanat saya kepada mereka sebelum mereka memulakan tugasan minggu ini, antara lainnya saya mengingatkan bahawa asrama MRSM ialah rumah kedua anak-anak MRSM.

"Di sinilah mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab. 

No Image Caption

"Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian; warden ialah pendidik watak iaitu ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina, dan kasih sayang dibudayakan. 

"Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih, dan adil.

"Moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional: selamat, berdisiplin, beradab, dan membahagiakan," kongsinya.

Terdahulu, pada April Asyraf menjelaskan akan memperhalusi cadangan menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di MRSM di seluruh negara dalam menerapkan elemen disiplin serta memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang