Pilih selesai kemelut keluarga secara peribadi, Marissa Dania kongsi foto pusara anak. 'Alhamdulillah sempat mengandungkan dan melahirkan'

Sebelum ini pernah tular kisah anak kepada pasangan Abby Abadi dan Norman Hakim, Marissa Dania, yang mengalami keguguran.
Rentetan daripada itu, baru-baru ini Marissa ada berkongsi foto pusara bayinya menerusi hantaran di Instagram Story miliknya, bersama luahan isi hatinya.
Marissa, yang juga isteri kedua kepada pempengaruh Aslam, meluahkan rasa syukur kerana diberikan kesempatan merasai nikmat hamil dan melahirkan anak, meskipun kemudian diuji apabila tidak berpeluang menjaga cahaya matanya itu.
“Tiada siapa yang boleh melindungimu seperti mana saya lakukan. Walaupun kamu sudah tiada di sini, apa pun yang berlaku, saya akan sentiasa menjadi pelindungmu.
“Alhamdulillah saya sempat mengandungkan dan melahirkan, cuma tak ada peluang untuk menjaga anak saya. Tapi itu bukan bermakna tiada kasih sayang dan ruang untuk berkata sesuka hati,” tulisnya.

Dalam satu perkongsian berbeza, Marissa juga sempat memohon maaf sekiranya hantaran yang dimuat naik itu mengundang salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Ini berikutan perang media sosial antara Abby dan Aslam yang tercetus baru-baru ini. Kongsi Marissa di platform Threads, beliau memilih untuk menyelesaikan segala isu secara peribadi tanpa melibatkan perbalahan terbuka di media sosial.

“Assalamualaikum semuanya. Bagi menjelaskan apa yang telah diperkatakan. Saya pun sama je macam kalian semua, baru dapat tahu pasal semua kenyataan petang tadi.
“Dari pihak saya, semuanya saya selesaikan secara peribadi dengan semua yang terlibat. Tiada balas-membalas di media sosial.
“Mohon hormati batasan kalian dalam hal ini ya. Saya minta maaf sekiranya ada khilaf atau menimbulkan salah faham,” tulisnya.

Terdahulu, perang media sosial tercetus apabila terdapat pihak yang meminta Abby memohon maaf kepada isteri pertama Aslam, yang juga madu Marissa, iaitu Umisya Mazlan.
Bagaimanapun, Abby mempersoalkan permintaan itu dan sebaliknya meminta menantunya, Aslam, datang memohon maaf kepadanya.
Aslam kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Abby berhubung polemik yang melanda keluarga mereka.
Dakwa Aslam, beliau juga ada membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Abby. Namun, Abby menafikan kenyataan menantunya itu.
Umisya kemudian tampil mendedahkan bahawa akaun Instagram miliknya telah disekat oleh Abby Abadi dan Marissa.
Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Manakala Aslam dan Umisya pula mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3, dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang