'Puas hati kami bayar cukai....' Reaksi gembira bapa dapat beli corndog lepas terima RM100 SARA MyKasih bikin sebak
SANA-sini ramai yang sudah menunaikan kewajipan membayar cukai. Namun keluhan segelintir yang terpaksa membayar cukai buat sesetengah rakyat Malaysia mungkin berubah apabila melihat video yang menyentuh hati ini.
Sebuah video tular di laman sosial meraih lebih 1 juta tontonan meraih perhatian dan mengundang sebak warga maya melihat kegembiraan warga emas menikmati makanan yang dibelinya kerana menerima wang bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Mykasih.
Video dimuat naik pengguna TikTok @kaksha_91 memaparkan bapanya gembira selepas membeli corndog dan minuman.
Menurut Kak Sha, bapanya tidak pernah merasa dan teringin mencuba makanan tersebut.
“Tak pernah dapat, seumur hidup mana nak dapat,” kata bapanya sambil tersenyum lebar.

Sementara itu, ibu kepada @kaksha_91 yang merakam video berkenaan menjelaskan makanan yang dibelinya itu dapat diperoleh selepas pasangan itu menggunakan wang SARA untuk membeli barang keperluan lain.
“Datang beli minyak, 5 kilo beras wangi, air kordial satu, habis balik,” katanya.
Kak Sha dipetik portal media tempatan menjelaskan perbelanjaan barang dapur pasangan berkenaan berjaya dijimatkan menggunakan bantuan MySara. Maka dengan lebihan wang yang ada dapatlah bapanya membeli corndog tersebut.
“Duit MySara tu emak abah saya beli keperluan asas sahaja. Cuma bila ada lebihan duit beli barang asas barulah boleh beli corndog dan air,” katanya.
Melihat senyuman lebar yang terukir pada warga emas itu, warganet meluahkan rasa terharu. Rata-rata tersentuh melihat kegembiraan lelaki berkenaan dan menyatakan rasa lega selepas menunaikan tanggungjawab membayar cukai.
"Puas hati kami bayar cukai bila dapat tengok pak cik mak cik happy macam ni."
"Dia teringin" "tak penah dapat" sebaknya. Semoga dimurahkan rezeki selalu pakcik."
"Saya pegang RM1,000 tunai saya rasa sikit sangat dan tak cukup. Tapi bila tahu pasal bantuan ni orang berpusu- pusu pergi pasar raya dengan wang bantuan RM100 beli barang dan happy anak-beranak, saya rasa tertampar sangat kerana tak bersyukur."
"The reason nak jadi kaya sebenarnya bukan nak tolong orang luar, tapi lebih pada nak fullfill innerchild mama papa. Both come from poor family. Murahkanlah rezekiku ya ALLAH."
Sekadar info, SARA disalurkan bermula 15 Januari 2025 melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024. Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Sumber: Mykasih, KakSha_91
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
