Remaja 16 tahun mengaku murtad depan ibu, kantoi suka tengok laman sesawang ‘darkside’

PELBAGAI ragam anak-anak yang meningkat dewasa. Jika waktu kecil ditatang bagai minyak yang penuh, namun apabila sudah memasuki usia persekolahan, ada ibu bapa yang tidak mampu memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.
Menerusi perkongsian seorang pemanggil yang mahu dikenali sebagai Puan F di radio Zayan dalam segmen Bukan Nama Sebenar, ibu kepada empat orang anak itu bercerita perihal anak sulungnya.
Dedah wanita itu, dia dan suami mempunyai hubungan yang renggang dengan anak pertama mereka. Sebagai ibu, dia sering menegur anaknya dalam pelbagai perkara, sehinggalah pada suatu hari apabila dia terjaga pada pukul 3 pagi.
Ketika keluar dari bilik, kebetulan dia terserempak dengan anak sulungnya yang juga sedang terjaga. Tiba-tiba, anaknya seorang yang pendiam memberitahu dirinya sudah murtad.
Terkejut dengan pengakuan tersebut, si ibu hanya mampu menangis dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Anak sulung wanita itu dikatakan jarang keluar rumah kerana tidak mempunyai ramai kawan, tetapi kebelakangan ini, perangainya berubah apabila suka keluar rumah tanpa mengira waktu.
Lantaran itu, si ibu memilih untuk memeriksa telefon bimbit anaknya untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Alangkah terkejutnya apabila mendapati terlalu banyak laman sesawang ‘dark side’ yang mengandungi kandungan menyeleweng daripada ajaran sebenar.
Mendengar rintihan ibu tersebut, penceramah popular, Ustaz Izzhar Nazri tampil memberikan pendapat dan nasihat agar masalahnya dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

“Saya tahu puan sedang menanggung beban yang berat, bukan sahaja tentang anak, tetapi juga melibatkan rumah tangga dan mungkin keluarga. Ujian itu terasa bertimpa-timpa.
“Saya ingin berkongsi satu teori dalam psikologi yang dipanggil Erikson’s Stages of Development, iaitu teori perkembangan yang menyatakan bahawa umur anak antara 13 hingga 19 tahun berada pada fasa kecelaruan identiti. Mereka akan keliru dengan pelbagai perkara.
“Fasa ini amat penting untuk melibatkan ibu dan ayah bersama-sama anak. Mungkin anak ini berasa kurang kasih sayang daripada ibu dan ayahnya,” katanya dalam nada sayu.
Ustaz Izzhar turut mencadangkan agar Puan F meluangkan masa khusus dengan anak sulungnya seperti mengajaknya berjalan-jalan di taman atau minum petang bersama secara berdua.
Memori bersama seperti ini akan membentuk rasa bersalah dalam diri anak sekiranya mereka mengkhianati kepercayaan ibu bapa. Pesanan secara tersirat ini juga memberi gambaran kepada anak bahawa ibu dan ayah amat menyayanginya dan berusaha memberikan yang terbaik tidak kira dalam apa jua keadaan.
Itulah mesej sebenar yang diperlukan oleh anak-anak ketika melalui fasa ‘tegang’ ini, agar mereka sedar bahawa sebagai anak sulung, mereka tidak boleh tewas sewenang-wenangnya. Tidak boleh gagal atau menyerah kalah, kerana masih ada adik-adik yang bergantung harap serta ibu dan ayah yang menyayangi sepenuh jiwa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang