'Sangat rapat dengan ayah, tidur bersama.' Sarjan Mohd Roslan bapa penyayang, kelibat anak sindrom Down runtun hati
PEMERGIAN Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan baru-baru ini bukan saja satu kehilangan besar kepada pasukan, malah turut memadamkan sinar kebahagiaan tiga cahaya matanya terutama anak sulung yang menghidap sindrom Down.
Cahaya mata pertamanya yang juga anak istimewa, Muhd Raqin Najmi, 13, mungkin tidak mengerti tentang kehilangan atau mengetahuimya tetapi tidak mampu menzahirkan? Atau belum menyedari bahawa insan yang amat disayanginya telah pergi selama-lamanya. Semua rahsia Ilahi.
Namun yang pasti bukan menjadi rahsia adalah dia kehilangan tempat mengadu dan bermanja.
Menurut kakak ipar Sarjan Mohd Roslan yang enggan dikenali berkata, Allahyarham seorang bapa penyayang dan sangat rapat dengan anak sulungnya itu selain dua lagi anaknya berusia sembilan dan enam tahun.

Muhd Raqin juga sangat rapat dengan ayahnya dan lazimnya mereka akan tidur bersama.
"Muhd Raqin sangat manja dan rapat dengan arwah. Biasanya, arwah akan tidur bersama anak-anak dan sentiasa meluangkan masa bermain dengan mereka.
"Saya tidak dapat bayangkan penerimaan Muhd Raqin apabila dia menyedari ayahnya sudah tiada nanti," katanya.
Tular di laman sosial foto memaparkan Muhd Raqin Najmi memberi penghormatan terakhir, menatap jenazah bapa tersayang di FRU Unit 5 Sungai Senam sebelum proses pengebumian.
Tidak hanya itu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila tiga anak Allahyarham, Muhammad Raqin Najmi, 13; Muhammad Rizqi Nazhan, 9; dan Nur Aqeela Rawida, 6 yang mengiringi pengebumian sambil mengesat air mata ketika menatap wajah terakhir ayah mereka.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh pada jam 5.20 pagi, Rabu dengan penuh adat istiadat polis.

Pemergian Allahyarham turut meninggalkan seorang balu, Nur Aini Samiun, 44.
Allahyarham Mohd Roslan terdahulu cedera parah dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Nahas yang berlaku selepas kenderaan dinaiki kesemua 18 anggota FRU itu dirempuh lori membawa muatan batu kerikil pada jam 8.51 pagi yang turut mengakibatkan lapan lagi anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka ialah Sarjan S Perumal, 44; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Luluh hati, ramai mendoakan agar Muhd Raqin Najmi mampu mengerti yang hidup pasti mati biarpun hanya kenangan indah bersama bapa menjadi peneman hati.
"Al-Fatihah. Semoga ALLAH kurniakan syurga buat mereka dan juga ketabahan buat ahli keluarga."
"Allahuakbar. Bapanya tunggu dia (Muhd Raqin Najmi) di syurga."
"Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga mangsa yang terlibat dan diberikan kemudahan atas setiap kesulitan."
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Pemandu lori muatan batu yang berusia 45 tahun itu juga pernah disabitkan kesalahan bagi satu kes narkotik dan empat kes curi.
Pemandu lori berkenaan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
