'Kerja selesai jom balik.' Satu-satunya anak lelaki, ibu reda kehilangan Lans Koperal Damarrulan ketika bertugas
PEMERGIAN perwira Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus ditangisi.
Lebih menyayat hati, salah seorang yang maut, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif sempat memuat naik status terakhir yang menyentuh sanubari ramai.
'Kerja selesai jom balik,' titipnya.
Hal itu dikongsi sahabat baiknya, Harith Fadhilah di Facebook.
"Buat saudara Damarulan, doa kukirimkan buatmu. Moga beroleh kerahmatan di alam sana.
"Selamat tinggal sahabat. Allahummaghfir lahu," kongsi sahabat baiknya.
Pemergian dalam menjalankan tugas kepada tanah air, kehilangan Damarrulan amat dirasai keluarga sementelah Allahyarham adalah anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya cahaya mata lelaki dalam keluarga.
“Saya reda, yang hidup pasti akan mati. Lagi pun dia sampai ajal ketika bertugas,” kongsi ibu Allahyarham, Suriati Omar.

Pasrah dengan ketentuan takdir, ujar Suriati, Allahyarham sempat menghubunginya sebelum kemalangan.Malah anak lelakinya itu mencurahkan bakti sebelum pergi selama-lamanya.
“Dua lagi adik dia perempuan, memang sebak tapi apakan daya. Dia ada hubungi saya pagi itu, beritahu dalam perjalanan mahu balik selepas bertugas.
“Ahad lepas dia sempat balik rumah dan tolong bersihkan rumah, mesin rumput,” katanya.
Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.
Jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini pada 4.50 pagi.

Allahyarham dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Suriati Omar.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika tujuh konvoi kenderaan FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.
Nahas berlaku selepas kenderaan dinaiki kesemua 18 anggota FRU itu dirempuh lori membawa muatan batu kerikil di Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam.
Takziah buat keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, al-Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
