'Saya maafkan dia, tapi tetap ambil tindakan' - Anak dilanggar van sekolah, ibu mahu keadilan bukan sekadar saman pemandu
HATI seorang ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak kecilnya terbaring di hospital dengan keadaan tubuh yang penuh luka dan kesakitan.
Namun, itu detik yang terpaksa dilalui Siti Zarina Abd Karim, 39, selepas anak lelakinya yang baru berusia enam tahun cedera akibat dilanggar van sekolah ketika dihantar ke rumah pengasuh di Taman Mantau Indah, Seremban pada Isnin lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, ibu bepada tiga cahaya mata itu berkata, anaknya kini dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala.
Menurutnya, kecederaan yang dialami bukan sedikit, sebaliknya luka jelas kelihatan di muka, kepala, kaki, tangan dan belakang badan anaknya.

“Saya masih lagi terkejut dengan kejadian berlaku dan tidak pasti sangat mengenai tahap kecederaannya, tapi bersyukur kerana dia berada dalam keadaan sedar,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, dia dihubungi pengasuh sekitar jam 12 tengah hari pada Isnin lalu iaitu ketika dia sedang dalam perjalanan untuk ke sebuah hospital swasta bagi temu janji perubatan.
Siti Zarina berkata, panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan kejadian menimpa anaknya itu cukup membuatkan hatinya berdebar.
“Pengasuh beritahu anak saya dilanggar van sekolah yang menghantarnya pulang. Saya terus berpatah balik dan bergegas ke rumah pengasuh, tapi bila sampai, anak saya sudah dibawa ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ).

“Sampai di wad kecemasan, luluh hati saya tengok keadaannya. Banyak sangat luka di tubuh,” ujarnya.
Tambahnya, perkhidmatan van sekolah tersebut sudah lama digunakan iaitu sejak anak sulungnya berusia tujuh tahun dan tiada sebarang insiden seumpama itu berlaku sepanjang tempoh terbabit.
Siti Zarina memaklumkan bahawa pemandu van berkenaan sudah menemuinya dan memohon maaf, namun tindakan undang-undang akan tetap dilakukan.
“Saya maafkan dia, tapi saya tetap akan ambil tindakan. Ini bukan untuk membalas dendam tapi sebagai pengajaran bukan sahaja kepada pemandu malah semua agar lebih berhati-hati,” tegasnya.

Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Inspektor Mohamad Nor Nidzam Mohamad Zin yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman mahu pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh.
“Kejadian ini dirakam kamera litar tertutup (CCTV), polis boleh semak rakaman itu. Kami mahu keadilan, bukan sekadar saman pemandu van," jelasnya.
Sebelum ini dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas dilanggar van sekolah yang menurunkannya di hadapan rumah pengasuh.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit berjalan di hadapan van tersebut untuk melintas ke rumah pengasuhnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
