Sayu! Tular pengantin lelaki terima panggilan bapa meninggal dunia, majlis persandingan bertukar duka
HARI yang sepatutnya menjadi paling bahagia dalam hidup bertukar menjadi detik paling menyayat hati bagi pasangan pengantin baharu ini.
Menerusi sebuah video tular, suasana meriah majlis persandingan seorang pengantin lelaki, Muhammad Nadir Md farred, 25, bertukar duka apabila dia tidak dapat menahan tangisan saat menerima perkhabaran bapanya, Md Farred Omar, 50, kembali ke rahmatullah ketika majlis persandingannya baru sahaja berlangsung.
Perkhabaran tersebut membuatkan suasana majlis bertukar pilu dalam sekelip mata.
Pengantin perempuan, Fatiha Aira, 28, yang dihubungi SinarPlus yang sempat berkongsi momen yang cukup memilukan dan menyentuh hati.

Difahamkan, arwah sepatutnya ditahan di hospital akibat daripada kuman pada paru-paru, namun tetap kuat semangat untuk hadir majlis sanding anak lelakinya.
Fatiha Aira mendedahkan, arwah menghidap diabetes dan pemergian bapa mentuanya amat mengejutkan susulan serangan jantung.
"Dua hari sebelum majlis, abah memaklumkan rasa sangat sakit. Keluarga suami bawanya ke bahagian kecemasan dan ditahan dalam wad kerana ada kuman pada paru-paru.
"Abah sepatutnya perlu ditahan di hospital, tetapi dia memilih untuk pulang. Setelah tiba di Perak bersama keluarga pihak lelaki, abah sempat menghadiri majlis akad nikah kami yang berlangsung pada hari Sabtu, 6 September.
"Namun, abah tidak sempat menghadiri majlis persandingan kami pada 7 September apabila menghembuskan nafas terakhir hanya beberapa jam sebelum majlis bermula. Jenazah abah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan hasilnya menunjukkan punca kematian adalah serangan jantung," kongsinya.

Menerusi video yang tular, pasangan mempelai itu kemudiannya meninggalkan majlis untuk pulang ke Johor.
"Saya dan suami tidak meneruskan majlis ketika itu kerana bergegas meninggalkan dewan untuk melawat jenazah abah. Namun, kami sempat pulang semula sebelum majlis berakhir.
"Masih ada tetamu yang menunggu di dewan dan menyarankan agar kami meneruskan majlis tersebut. Kami akur walaupun dalam keadaan yang amat berat dan terpaksa," jelasnya lagi.
Video yang menerima 2.9 juta tontonan itu mengundang air mata. Menjengah ke ruangan komen, warganet tersentuh dengan tangisan pengantin dan memuji tindakan mereka yang segera meninggalkan majlis bagi mengutamakan keluarga.
Rata-rata memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
