Sebak! Pemandu trak FRU dibebani rasa bersalah sebabkan 9 kematian, isteri cuba tenangkan. 'Dia minta maaf bersemuka, 'video call'...'
DI sebalik kemalangan tragis yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, tersimpan kisah pilu seorang lelaki yang kini bergelut dengan rasa bersalah yang tidak terungkap.
Menurut Nor Ain Ahmad Hesam, suaminya, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin kini mula berperang dengan emosi sendiri dan tidak henti-henti menyalahkan diri atas tragedi yang menimpa rakan sepasukannya.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu dikatakan tidak sedarkan diri sejurus terlibat dalam nahas berkenaan.
Namun, sebaik membuka mata, beliau tergamam kerana tidak menyangka trak yang dipandunya pada Selasa lalu telah meragut sembilan nyawa anggota pasukan sendiri.
"Dia baru tahu semalam bahawa sembilan rakannya meninggal dunia. Dia rasa bertanggungjawab kerana dia yang memandu.
"Dia kata dia rasa bersalah. Saya pujuk dia supaya tidak salahkan diri. Dia juga minta maaf kepada rakan-rakannya," katanya.
Sebaik dimaklumkan tentang berita duka itu, Mohd Harrisul Ikhsan tidak mampu menahan diri dari memohon maaf kepada rakan-rakan sepasukan bukan sahaja secara bersemuka, malah menerusi panggilan video.
"Semalam, dia buat panggilan video kepada Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) dan minta maaf secara bersemuka," katanya.
Namun sebagai seorang isteri yang setia di sisi, Nor Ain Ahmad tidak pernah jemu memujuk suaminya agar tidak terus menghukum diri sendiri.
Wanita itu meyakinkan suaminya bahawa tiada siapa yang menuding jari, sebaliknya semua pihak memahami insiden itu sebagai satu takdir yang tidak diduga.
"Tiada seorang pun yang salahkan dia. Ramai rakan hubungi dan beri sokongan moral. Mereka faham situasi sebenar dan minta dia jangan tanggung rasa bersalah itu seorang diri," kongsinya
Menurut ibu kepada Eusuff Anaqi itu lagi, suaminya yang berkhidmat lebih sedekad dalam pasukan, mengalami kecederaan di bahagian kepala selain beberapa tulang rusuk patah impak dari kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan lelaki tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila kini sudah mampu bergerak sendiri ke tandas tanpa perlu dipimpin.
Terdahulu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kerikil kira-kira jam 8.50 pagi Selasa.
Lapan anggota maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori tersebut.
SUMBER: Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
