Jaga isteri strok, Lans Koperal Damarrulan anggap tiga anak tiri seperti anak kandung. 'Takkan dapat pengganti seperti arwah'

No Image Caption
A
A
A

KEMALANGAN tragis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan terus menghiris perasaan rakyat Malaysia.

Pemergian salah seorang mangsa yang terkorban, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif terus dikenang keluarga sebagai bapa tiri yang penyayang.

"Dia hanya ayah tiri, tapi jaga kami macam anak sendiri," menurut Qaidah Thaqifah Mohd Yuslee, 23.

No Image Caption

Qaidah dan adik-adiknya, Qamarina Batrisyia, 21, dan Qarisya Safea, 17, menganggap bapa tiri yang dipanggil 'pak cik' itu seperti ayah kandung mereka.

Malah wanita tersebut mengakui, pemergian anggota dari Unit 5 Sungai Senam itu tiada yang mampu mengambil tempat lelaki itu.

"Kami takkan dapat pengganti seperti arwah yang menjaga kami bertiga dan emak yang strok sejak lapan tahun lalu," katanya.

Antara kebaikan bapa tirinya itu, menurutnya, adalah sentiasa meluangkan masa untuk menghantar Qarisya Safea ke latihan angkat berat setiap minggu walaupun sibuk bekerja.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir bertemu, arwah juga membelikan ayam gepuk yang diinginkannya sebelum dia pulang ke universiti.

No Image Caption

Jaga isteri strok sejak 2018

Pemergian Damarrulan pastinya amat dirasai suri hatinya, Haswati Rosdi, 44.

Bernikah lapan tahun lalu, kata Haswati lelaki itulah yang memberinya semangat apabila dia disahkan mengalami strok pada 2018 dan menjaganya sehingga dia dapat berjalan semula beberapa tahun lalu.

"Walaupun berbeza usia 11 tahun, saya kagum dengan kasih sayangnya menjaga saya dan tiga anak.

"Dia menanggung saya anak-beranak. Saya terasa sungguh kehilangannya," katanya hiba.

Haswati yang tidak dikurniakan anak bersama Damarrulan berkata sehari sebelum kejadian, Allahyarham bersikap pelik termasuk tidak mahu mencium dahinya ketika keluar bekerja.

"Kali terakhir kami bersarapan berdua sebelum tengah hari itu dia keluar untuk tugasan di Teluk Intan, dia ada mengirim swafoto dalam kenderaan dinaikinya sebelum kata nak pulang jam 8.30 pagi, tapi 15 minit selepas itu dia sudah tiada," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, ibu mentua Allahyarham yang juga ibu Haswati, Zamilah Mohd Nor, 65, mengenang Damarrulan seorang menantu yang sangat baik dan tidak berkira.

"Dia sanggup menjaga Along (Haswati) yang strok dan cucu saya.

"Saya terlalu sedih dia tiada lagi," katanya.

Baru-baru ini keluarga Allahyarham menerima kunjungan ziarah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di kediaman mereka di Kuarters FRU Unit 5 Sungai Senam.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri menubuhkan pasukan kaunselor khas bagi membantu keluarga anggota dan waris yang terkesan dapat melalui detik sukar dengan baik selepas kehilangan orang tersayang secara mengejut.

Takziah buat keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, al-Fatihah.

Sumber: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang