Sebelum tambah anak, siapkan bilik dulu! Jangan sampai jejas privasi bersama

No Image Caption
A
A
A

ANAK itu rezeki, tidak kira ramai atau tidak.

Ada yang menganggap cukup sekadar seorang. Lain pula bagi sesetengah ibu bapa yang mahukan anak ramai kalau boleh lengkap satu pasukan bola. Betul, tak?

Tapi jangan nak fikirkan tentang kuantiti sampai terabai bab kualiti, kan. Walaupun anak ramai dianggap rezeki, namun perlu juga menitik beratkan aspek lain seperti kemudahan buat mereka dengan menambah jumlah bilik lebih-lebih lagi jika anak berbeza jantina.

Perkara ini dikongsikan oleh Shifa Kamardin di laman Facebook miliknya bahawa tidak salah jika suami isteri mahukan anak yang ramai, tetapi haruslah mengikut kemampuan diri.

Sebelum nak tambah anak, tambah bilik dulu.

Aku ternampak satu video kat kat sebelah kan, ada seorang doktor ni cakap, paling minimum benda yang perlu dipertimbangkan sebelum tambah anak adalah tengok keadaan rumah kita dulu.

Aku terus macam, zaapp! Terus dapat tangkap apa yang beliau nak sampaikan.

Sebab kan sebelum tambah anak, kena semak semula, mampu atau tidak kita sebagai ibu ayah sediakan bilik berasingan untuk anak lelaki dan juga anak perempuan.

Pastu bayangkan kalau anak-anak pula ramai macam sepasukan bola sepak, takkanlah nak sumbat anak-anak duduk sekali dalam bilik yang sempit macam sekangkang kera tu?

Sedangkan bilik tu muat satu katil bujang atau paling besar pun katil kelamin. Dah la binaan rumah sekarang makin sempit kaki per segi. Tu tak kira lagi nak letak almari dan set meja belajar. Boleh bayanglah sempit betul.

Kalau tak muat, bentang toto kat ruang tamu, tidur ramai-ramai kat situ. Bila nak buat hubungan kelamin, kena sorok sana sini.

No Image Caption

Dalam pada itu, beliau juga berkongsi senario sebenar keluarga besar yang hidup melarat dalam rumah yang kecil dan beristeri dua. Malah, jangan sampai abaikan hak privasi anak sendiri disebabkan ketidakmampuan kita menyediakan kemudahan untuk mereka.

Tiba-tiba teringat kes sebuah keluarga ni hidup dalam keadaan melarat. Duduk di rumah flat, anak pula berbelas-belas orang. Tapi ada DUA ISTERI! Duduk sekali bersama dua orang isteri tu dalam satu rumah. Isteri kedua pula tengah mengandung anak ke berapa entah masa tu.

Bilik pula hanya halang dengan kain langsir nipis tu saja sebagai pemisah! Kemudian, tagih bantuan orang ramai untuk tolong keluarga mereka. Sedangkan lelaki tu kuat dan sihat. Weh, tak boleh bayang!

Anak perempuan pula nak mandi atau bersiap, tak ada privasi sebab ayah dan adik-beradik lain nampak. Dengan tandas ada satu saja. Jenuh berebut.

Orang dok kata anak rezeki. Tapi hak anak-anak yang paling minimum pun tak mampu nak sediakan. PRIVASI MEREKA.

Lepas lunaskan bab privasi, barulah boleh bincang hak mereka yang lain seperti pendidikan atau kesihatan.

Ni kalau hat paling minimum sekali pun tak dapat nak sediakan, toksah sembang bab tambah anak.

No Image Caption

Sementelah itu, beliau juga sempat berkongsi pesanan yang selalu diberikan untuk adik-adiknya dan menasihati supaya mencari rumah yang selesa ketika membesarkan anak-anak.

Aku pesan kat adik-adik aku, nak tambah anak, pastikan pindah rumah yang lebih selesa. Cari rumah yang kondusif untuk membesarkan anak. Bukan ala kadar saja. Usaha mestilah kena lebih. Nak bela anak, kos memang mahal. Mahalkan sikit usaha tu.

Orang tua aku walaupun anak ramai, bilik kat rumah kami ada 4. Memang sangat cukup pun. Tambah pula rumah kampung, memang luas la.

Ni kalau duduk di bandar, rumah pula macam sangkar burung, bilik air pun hanya ada satu, janganlah aniaya anak-anak atas kebodohan diri.

Ni baru bab duduk rumah sewa atau rumah sendiri.

Kalau yang duduk sekali di rumah mak ayah dengan adik-beradik yang masih bujang? Beranak-pinak pula kat situ? Bayangkan?

Ini bukan berkisarkan rezeki semata-mata tapi amanah yang kita pikul terhadap anak-anak.

Islam ni mudah sebenarnya. Cuma kita saja yang suka menyulitkan situasi.

Apapun, berbalik pada kemampuan kita. Jangan sampai menjejaskan hak privasi diri dan juga anak-anak.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang