Siti Bainun gagal rayuan akhir, kekal 12 tahun penjara atas pertuduhan abai & aniaya Bella
LANGKAHNYA pernah membawa harapan. Senyumannya pernah menjadi simbol perlindungan.
Namun, semua itu bertukar menjadi luka apabila kebenaran terbongkar. Di sebalik pintu rumah yang kononnya memberi kasih, tersimpan cerita hitam seorang remaja sindrom Down bernama Bella.
Hari ini, mahkamah memuktamadkan segalanya. Siti Bainun Ahd Razali, pengasas Rumah Bonda, kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas dua pertuduhan mengabai serta menganiaya Bella, ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.
Rayuan yang difailkan itu menjadi peluang terakhir buatnya selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen sebelum ini mengekalkan sabitan.
Namun, peluang itu tertutup rapat apabila Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara menolak rayuan berkenaan.
"Kami sebulat suara memutuskan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tingi dikekalkan dan sebulat suara merasakan kecederaan mangsa di bawah jagaan perayu yang telah diamanahkan yang mana mangsa merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
"Walaupun jika tidak diamanahkan sekali pun, seseorang manusia itu bukan setakat sesama manusia, tetapi haiwan yang tidak mempunyai akal (pasti) tidak tergamak untuk mendatangkan kecederaan. Orang awam dinasihatkan agar takut dengan hukuman dan undang-undang yang ada," katanya seperti yang dilaporkan Sinar harian.
Sepanjang prosiding, Siti Bainun diwakili peguam Mohd Haijan Omar, Nurul Hafidza Hassan dan Nur Aminatul Mardhiah Md Nor. Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
MENCABAR KREDIBILITI
Mahkamah turut menolak notis usul dan afidavit baharu iaitu laporan polis yang dibuat Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang dikemukakan Siti Bainun sebagai bukti baharu.
Laporan itu cuba mencabar kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan namun ia tidak diterima oleh mahkamah.
Kes ini mula terbongkar pada 2021 apabila Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella, ketika itu berusia 13 tahun, sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dihukum penjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Selain itu, beliau turut diwajibkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Keputusan ini menjadi noktah terakhir dalam perjalanan panjang perbicaraan yang menjadi perhatian seluruh negara.
Bagi Bella, ia adalah kemenangan undang-undang, walaupun luka di hati dan tubuhnya mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh sepenuhnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

