Siti Nurhaliza jelas isu terpalit KKM, nyanyi dengan ikhlas hiburkan majlis ‘.. jangan bangkitkan sesuatu yang akhirnya jadi fitnah'

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menafikan dakwaan bahawa beliau menerima bayaran untuk membuat persembahan sempena program Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa.
Perkara itu dijelaskan melalui satu hantaran di Instagram pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin.
Siti Nurhaliza yang mesra disapa Tokti, menyatakan beliau hadir ke majlis tersebut sebagai tetamu dan tidak menerima sebarang bayaran.
“Saya diundang sebagai tetamu, saya hadir dan datang menyantuni majlis. Saya dengan rela hati membuat persembahan (saya tidak diundang atas kapasiti artis yang membuat persembahan), saya hanya ingin menghiburkan semua yang ada semalam, malah saya turut ke majlis-majlis lain dan kebanyakan tahu, saya akan menyanyi jika keadaan mengizinkan.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang,” tulisnya.

Tokti juga dalam perkongsian yang sama turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita jika tidak pasti kesahihannya.
“Anda nak menuding jari atau menzahirkan rasa, pandangan atau sesuatu berkaitan mana-mana badan, jabatan dan sebagainya, jangan kaitkan dan bangkitkan sesuatu yang akhirnya jadi fitnah dan saya pula antara yang diperkatakan serta menjadi mangsa tohmahan secara tak langsung.
“Pastikan sesuatu yang sahih sebelum menulis kerana fitnah, komen, petikan nama, gambar, ulasan yang tidak benar ini memberikan implikasi yang sangat tidak baik, walhal saya seikhlas hati menghiburkan tanpa bayaran pada majlis yang diperkatakan itu,” tambahnya.


Terdahulu, menerusi beberapa foto yang dimuat naik di akaun Facebook (FB) Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, antara artis yang dijemput menghiburkan tetamu selain Siti adalah Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Sebelum ini tular seorang pegawai perubatan yang mempertikaikan kehadiran dua penyanyi hebat Malaysia ini yang tampil membuat persembahan di majlis tersebut.
Beliau mengharapkan peruntukan yang dibuat untuk persembahan tersebut seharusnya digunakan bagi perkara lain.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang