Suami isteri maut kemalangan sempat masukkan gaji staf sebelum pergi selamanya. 'Banyak posting sedih menyentuh hati...'
KEMATIAN tiba tidak kira masa, tempat atau keadaan. Itulah hakikat yang sukar diterima apabila sepasang suami isteri yang juga usahawan terkorban dalam satu kemalangan tragis baru-baru ini.
Namun, di sebalik kisah duka itu, terselit momen menyentuh hati pasangan ini sempat melunaskan tanggungjawab terakhir mereka dengan memasukkan gaji pekerja sebelum meninggal dunia.
Pasangan suami isteri, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan Allahyarham Nur Syamimi Rosli, 36, disahkan meninggal dunia setelah kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di KM13 Jalan Segamat-Kuantan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan itu membabitkan kereta jenis Ford Mustang dalam perjalanan menghala ke Segamat.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang elektrik, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Di sebalik kemalangan tragis, tersimpan memori pilu yang dikongsikan kakitangan pasangan itu yang memiliki perniagaan barang kemas dan restoran.
Menerusi laman sosial TikTok Leyparking Cafe, arwah Nur Syamimi sempat melunaskan tanggungjawab dan amanahnya sebagai majikan dengan membuat pembayaran gaji.
"Pemergian yang amat dikejutkan kepada ahli keluarga, staff, kenalan dan sahabatnya. Sudah lama arwah tidak datang ke kedai dan semasa hendak memulakan perjalanan, arwah sempat untuk memasukkan duit gaji staf.
"Selepas itu dia (Nur Syamimi) diam begitu sahaja. Banyak yang menjadi tanda tanya kenapa akhir-akhir ini (apabila) beliau kerap memuat naik hantaran video sedih serta menyentuh hati.
"(Rupanya) hari ini kira kira jam 2:00 petang, dia disahkan meninggal dunia bersama suami tercinta akibat hilang kawalan disebabkan oleh hujan lebat berterusan.
"Minta jasa semua, sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah bos saya dan suami tercinta. Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan sentiasa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," titipnya.
Menerusi hantaran laman sosial Unit Khas Van Jenazah, pasangan berkenaan turut meninggalkan zuriat yang masih kecil meruntun hati warga maya apabila.
"Almarhum Mohd Izuddin dan isterinya, Allahyarham Nur Syamimi telah selamat tiba di kediaman keluarga mereka yang terletak di Pekan.
"Sesungguhnya, pemergian sepasang suami isteri ini dalam sekelip mata bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi bagi anak-anak kecil yang kini kehilangan tempat bergantung, kasih sayang dan belaian ibu dan ayah tercinta.
"Tak mampu diungkap dengan kata-kata dan segenap kekuatan yang masih bersisa, mereka menatap wajah terakhir insan-insanpaling disayangi dala pilu serta linangan air mata.
"Kini, mereka bergelar yatim piatu dalam usia yang masih terlalu muda untuk memahami erti kehilangan ini sepenuhnya," kongsinya.
Difahamkan, kemalangan yang meragut nyawa pasangan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
