'Suhu tak panas, masih boleh cakap' - Muntah dan kejang, ibu sebak dakwa anak meninggal dunia akibat influenza


INFLUENZA semakin berleluasa. Baru sahaja Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan kira-kira 6,000 murid di sekolah di bawahnya dikesan dijangkiti virus influenza, seorang ibu di Terengganu mendakwa anaknya meninggal dunia awal pagi Rabu dipercayai akibat jangkitan virus.
Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun, Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, 11 disahkan meninggal dunia jam 1.40 pagi di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).
Menerusi perkongsian ibu, Normala Mohd Nor, 42, berkata, anak bongsunya itu mula menunjukkan tanda tidak sihat pada pagi Selasa sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta di Paka untuk mendapatkan rawatan.
"Pagi Selasa lalu anak saya demam tapi suhu badannya tidak terlalu tinggi. Saya bawa ke klinik swasta di Paka kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Doktor buat ujian swab dan beritahu dia dijangkiti influenza sebelum beri ubat antiviral," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Jelas Normala, keadaan anaknya mula merosot pada malam hari selepas mengambil ubat seperti diarahkan doktor sekali gus mengimbas detik akhir Muhammad Amsyar Farhan.
"Malam itu dia muntah banyak kali tapi masih boleh makan.
"Lepas muntah kali ketiga, badannya tiba-tiba kejang dan saya terus bawa ke Klinik Kesihatan AMBS sekitar jam 11 malam.
"Masa tu suhu badannya tidak begitu panas dan dia masih boleh bercakap seperti biasa dengan ayahnya.

"Tapi, sekitar jam 1.40 pagi, doktor maklumkan anak saya sudah meninggal dunia," katanya sebak.
Normala berkata, jenazah anak bongsu daripada dua beradik itu pada awalnya dijangka dikebumikan jam 10 pagi pada Rabu.
Ia bagaimanapun ditangguhkan kerana kes berkenaan perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut.
"Saya terpaksa bawa anak dari Dungun ke HSNZ untuk proses bedah siasat.
"Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam AMBS," katanya.
Jelas Normala, Allahyarham Muhammad Amsyar Farhan sebelum ini sihat dan tidak pernah menghidap penyakit kronik.
Sinar Harian masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sarawak meninggal dunia yang menunjukkan jangkitan positif influenza A. Namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

