'Superhero' baju oren! Lelaki selamatkan budak nyaris jatuh tingkat 4 dipuji warganet, layak terima penghargaan
TINDAKAN spontan seorang lelaki yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan kanak-kanak yang nyaris terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri mencuri perhatian ramai.
Kejadian cemas itu dikatakan berlaku di Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat lalu, namun kembali menjadi sorotan ramai apabila rakaman insiden itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki yang tidak didedahkan nama secara tidak sengaja terlihat kelibat si kecil merangkak keluar dari tingkap rumah.
Tanpa berfikir panjang, lelaki yang juga jiran kepada kanak-kanak itu nekad memanjat pagar besi di bahagian luar bangunan.
Dengan berhati-hati lelaki yang mengenakan kemeja-T berwarna oren itu berpaut dan merangkak perlahan sebelum berjaya mencapai si kecil itu lalu meletakkannya kembali ke dalam rumah dengan selamat.
Aksi berani lelaki itu sempat dirakam orang awam sekali gus mengundang pelbagai reaksi di kalangan netizen dengan ramai yang memuji keberanian luar biasa pemuda berkenaan.
Meskipun identitinya tidak didedahkan, tindakan berani lelaki itu kini mendapat gelaran 'wira sebenar' daripada warga maya yang tidak hanya terharu, tetapi bersyukur atas keprihatinannya yang berjaya menyelamatkan nyawa si kecil.
"Hero sejati. Moga dimurahkan rezeki dia.
"Abang ini patut terima penghargaan dari kerajaan, sikap yang sanggup berkorban untuk orang lain. Hebat!,"komen warganet.
Difahamkan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan pada si kecil itu, sekali gus memberi kelegaan kepada semua yang terlibat dalam insiden mencemaskan tersebut.
Insiden mencemaskan itu juga menjadi peringatan penting kepada ibu bapa agar sentiasa peka dan berhati-hati dengan pergerakan anak-anak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kediaman bertingkat.
Langkah-langkah keselamatan seperti pemasangan jeriji tingkap dan pagar keselamatan amat wajar dipertimbangkan oleh ibu bapa bagi mencegah tragedi yang tidak diingini seperti ini berlaku.
Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun ibu bapa kanak-kanak tersebut mengenai insiden berkenaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
