Taiping dilanda banjir: Rakaman suara penduduk dan doa tular, bikin ramai sebak – 'Tingginya air, kesian budak-budak sejuk...'
JERITAN seorang wanita yang kedengaran dalam video yang memaparkan detik mencemaskan ketika banjir melanda kawasan perumahan di Taiping tular sehingga mengundang sebak ramai.
jeritan seorang wanita yang merintih dalam ketakutan:
“Baca doa yah... tolong... dah sampai ni dah!”
Suara tangisan dan laungan “Allahuakbar” bergema di sebalik limpahan air separas pinggang, cukup untuk membuat sesiapa pun menahan sebak.
"Tingginya air, kesian budak-budak sejuk."
Di celah kekalutan itu, kedengaran pula suara seorang lelaki yang risaukan keselamatan keluarganya:
“Habislah rumah aku... kesian anak aku ni... aku takut anak aku ni... Allahuakbar.”

Rakaman berkenaan mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi penduduk Taiping, detik cemas yang sukar dilupakan apabila hujan lebat berterusan sejak petang menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.
Di media sosial, ramai berkongsi foto dan video yang menyentuh hati. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah gambar seorang bapa mengharung banjir sambil menggendong bayinya tinggi-tinggi, seolah melindungi sebutir permata paling berharga dalam hidup.
“Tak dapat bayang kalau si ibu masih dalam pantang,” tulis seorang pengguna media sosial yang mengakui sebak melihat gambar tersebut.

MEMANJAT BUMBUNG
Ada juga yang dilihat memanjat bumbung kenderaan untuk berlindung sementara menunggu bantuan tiba, situasi yang menggambarkan betapa pantas air naik dan betapa gentingnya keadaan malam itu.
Warga maya tanpa mengira latar belakang bersatu menyebarkan semula rakaman dan gambar dengan satu harapan — agar semua mangsa dilindungi dan diselamatkan. Di ruangan komen, penuh dengan doa serta kata-kata semangat buat penduduk yang terjejas.
“Semoga ALLAH lindungi mereka, kuatkan hati,” tulis seorang pengguna.
“Air boleh surut, tapi trauma dan kehilangan bukan mudah diganti,” luah yang lain.
Dalam suasana cemas itu, pihak berkuasa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus giat menjalankan operasi pemindahan dan pemantauan.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak, sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak jam 7.30 malam bagi menempatkan mangsa:
- Dewan Orang Ramai Simpang Halt
- Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong
- Dewan Perdana Trong
- Dewan Serbaguna Masjid Al Wusta Batu 8
- Masjid Ali Rouse
- Sekolah Kebangsaan Simpang
Jumlah keseluruhan mangsa masih dalam proses pemindahan.

Sementara itu di Manjung, PPS Sekolah Sungai Batu, Pantai Remis turut dibuka jam 8 malam bagi menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga. PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru pula mula beroperasi jam 8.30 malam dengan proses pemindahan dari Kampung Padang Serai masih berjalan.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

