‘Tak sangka sampai begini’ - Anak patah tulang hidung dan retak tulang mata dipukul rakan, ibu mahu keadilan
HARI yang sepatutnya menjadi persekolahan biasa bagi seorang murid Tahun Dua di salah sebuah sekolah di Kuala Terengganu bertukar menjadi detik trauma.
Memetik laporan Sinar Harian, kanak-kanak itu pulang ke rumah dengan keadaan hidung berdarah dan wajah lebam pada petang 30 Julai lalu menyebabkan ibunya menjadi panik.
Menurutnya, dia segera membawa anaknya ke sebuah klinik swasta sebelum membuat pemeriksaan X-ray.
Malah, lebih mengejutkan apabila pemeriksaan perubatan mendapati tulang hidungnya patah dan tulang berhampiran mata turut retak dipercayai akibat dipukul beberapa rakan sekolahnya.
Ibunya, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, mengakui anaknya pernah memberitahu tentang pengalaman dibuli sebelum ini, tetapi tidak menyangka ia akan mencapai ke tahap mencederakan fizikal.

“Dia diserang oleh sekumpulan murid. Ada yang memegang tangan supaya dia tidak dapat lari, ada yang menolak dan menumbuk mukanya sehingga dia terjatuh.
“Kejadian itu menyebabkan tulang hidung anak saya patah serta retak di bahagian mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Rabu.
Ujarnya, pihak klinik turut menasihatkannya supaya membuat laporan polis dan merujuk kes itu ke HSNZ.
Rifka Amelia berkata, kejadian dipercayai berpunca ketika anaknya mengikuti kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di kelas lain kerana pertukaran jadual.
“Kebetulan anak saya dari kelas lain dan menumpang di kelas itu. Saya diberitahu anak saya telah merosakkan sarung meja di kelas tersebut sebelum dipukul oleh beberapa murid lain.

“Malangnya, beberapa murid yang terlibat memukul anak saya termasuk dari kelas lain yang dia sendiri tidak kenal. Untuk kerosakan itu, saya sudah bayar RM15 untuk menggantikan sarung baru,” jelasnya.
Lebih memilukan, ini bukan kali pertama anaknya mengalami kecederaan di sekolah. Kanak-kanak itu pernah dibaling batu sehingga cedera di mata pada Jun lalu namun, Rifka Amelia tidak membuat laporan polis.
“Kali ini, saya tekad mengambil tindakan undang-undang. Saya tidak mahu murid lain menerima nasib sama. Saya difahamkan kes seperti ini sudah banyak berlaku di sekolah ini,” katanya.
Tambah Rifka Amelia, pihak sekolah telah memanggil ibu bapa yang terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu.
“Ada yang sudah memohon maaf secara bersemuka dan melalui mesej, namun saya difahamkan masih ada murid terlibat yang belum dikenakan sebarang tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kes itu dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek dan ia telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Justeru itu, kejadian seumpama ini sekali lagi membangkitkan persoalan tentang keselamatan murid di sekolah dan keberkesanan langkah pencegahan buli.
Walaupun pihak sekolah dan pihak berkuasa telah mengambil tindakan, trauma fizikal dan emosi yang dialami mangsa memerlukan masa panjang untuk dipulihkan.
Bagi Rifka Amelia, perjuangannya belum selesai. Bukan sekadar untuk anaknya, tetapi demi memastikan tiada lagi murid lain menjadi mangsa keganasan di tempat yang sepatutnya menjadi medan ilmu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
