Tiba-tiba black out jangan keluar, tengok rumah jiran dulu elak jadi mangsa. 'Nampak penyamun mencangkung berparang'

SAMUN antara jenayah yang banyak berlaku di kediaman-kediaman. Pelbagai taktik licik dicipta untuk memerangkap dan memperdaya mangsa demi mendapatkan kesenangan dengan mudah.
Tular di laman sosial perkongsian oleh pengguna Facebook Khairul Ezuwan yang boleh dijadikan pengajaran dan langkah berjaga-jaga membuka jalan kepada kehadiran perompak.
"Penyamun ini macam spesies scammer juga, mereka sentiasa kreatif menjalankan modus operandi mereka.
"Jika elektrik mati waktu malam, biasanya kita akan keluar rumah untuk meninjau rumah jiran-jiran kita untuk pastikan sama ada hanya rumah kita sahaja yang terputus elektrik.

"Modus operandi penyamun ni, mereka masuk dari pagar, kemudian mereka cabut fius utama pada kotak meter eletrik itu.
"Apabila penghuni rumah membuka pintu untuk meninjau keluar, penyamun ini akan menghunus parang dan masuk ke dalam rumah. Mereka ni bukan pencuri yang masuk senyap-senyap, mereka ni penyamun bersenjata yang merompak waktu orang berjaga," kongsinya.
Kongsinya, dalam satu kejadian yang berlaku di Puncak Alam, Shah Alam, satu cubaan pecah rumah berjaya dipatahkan.

Lebih menggerunkan, penyamun yang lengkap bersenjata tajam sudah menanti.
"Kejadian ini berlaku di Puncak Alam dua hari lepas tetapi rompakan gagal kerana tuan rumah sempat meninjau keluar melalui cermin dan ternampak kelibat penyamun ni sedang mencangkung dengan berparang menunggu di hadapan pintu yang hampir-hampir mahu dibuka oleh isterinya.
"Kesimpulannya, kalau elektrik rumah kita terputus terutamanya rumah kita sahaja, jangan melulu keluar dari rumah.
"Tinjau dahulu keluar melalui pintu cermin atau tingkap, pastikan benar-benar selamat baru keluar," kongsinya.
POLIS BURU 2 LELAKI
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor kenyataannya semalam memaklumkan polis memburu dua lelaki bersenjata parang yang disyaki cuba menyamun dua rumah di Jalan Alam Suria, Seksyen 16, Puncak Alam.
Ia susulan pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian sama di kawasan berkenaan.

Berikut adalah lima fakta kes yang dikongsikan:
1-Pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun mendakwa melihat kelibat dua lelaki memakai pelitup muka dan bersenjata parang berada di belakang rumahnya kira-kira 11 malam.
2-Suspek bertindak mengacukan parang ke arah pengadu dan isteri menyebabkan isterinya menjerit meminta tolong sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.
3-Mohd Hafiz berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
4-Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tampil memberikan kerjasama bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
5-Maklumat boleh disalurkan melalui Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
PENCEGAHAN DAN TIP JENAYAH PECAH RUMAH

Berikut tip dikongsikan Polis Derah Raub bagi mencegah jenayah ini:
1. Kunci pintu dan tingkap
Kunci pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah walaupun untuk masa yang singkat.
2. Jangan tinggal kunci
Jangan sembunyikan kunci rumah di dalam pasu, di bawah alas kaki ataupun dalam rak kasut di luar rumah.
3. Jangan maklumkan anda tiada di rumah.
Jangan tinggalkan nota atau kemaskini status laman sosial anda dengan mengatakan anda tiada di rumah.
4. Hentikan pesanan surat khabar.
Hentikan penghantaran surat khabar apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.
5. Tukar kunci baru
Pasang semula mangga atau kunci rumah yang baru jika anda kehilangan anak kunci ataupun penyewa rumah bertukar.
6. Elak serah kunci rumah sembarangan
Elakkan memberi kunci rumah kepada orang lain termasuklah kontraktor.
7. Jangan tinggal barang kemas dan wang tunai.
Simpan wang tunai anda di bank dan barang kemas di peti simpanan keselamatan.
8. Pasang lampu timer
Pasang lampu dengan pemasa (timer) di dalam dan luar rumah bagi mewujudkan suasana rumah berpenghuni.
9. Matikan telefon
Cabut talian telefon bagi mengelakkan telefon berdering ketika anda tiada di rumah. Elakkan memasang sistem pesanan suara yang mengatakan anda tiada di rumah.
10. Sertai program kejiranan. Khususnya program bersama polis untuk mengenali serta meningkatkan kerjasama antara komuniti dan polis.
11. Minta bantuan jiran
Minta bantuan jiran menjaga rumah sepanjang ketiadaan anda dan mengambil surat dalam peti surat.
12. Keselamatan rumah
Pintu utama dan pintu belakang perlu diperbuat daripada bahan yang kukuh dan dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti. Pasang jeriji (grill) berkunci pada pintu dan tingkap rumah.
13. Pasang alat keselamatan.
Pasang sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.
14. Simpan peralatan
Pastikan tangga dan peralatan bertukang atau berkebun disimpan dalam stor agar ia tidak digunakan oleh penceroboh untuk memecah masuk ke rumah anda.
15. Kemaskan luar rumah
Pastikan tiada pokok di sekitar rumah anda yang boleh dipanjat penceroboh untuk memasuki rumah. Bersihkan juga lalang dan semak-samun di luar rumah anda.
Semoga perkongsian tips pencegahan jenayah pecah rumah ini menjadi panduan berguna untuk anda yang akan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti.
Ingatlah bahawa jenayah berlaku apabila adanya peluang.
Sumber: Facebook Khairul Ezuwan, Harian Metro, Polis Daerah Raub
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang