Tindik lidah atas alasan permintaan suami, ini jawapan padu ustazah Asma' Harun

WANITA sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan barangan perhiasan untuk kelihatan cantik dan bergaya.
Namun begitu, janganlah sampai keterlaluan sehingga sanggup menindik lidah.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun baru-baru ini ada membuat teguran tentang perbuatan tersebut berikutan gambar yang tular, iaitu seorang wanita berbuat demikian dengan alasan patuh kepada permintaan suami.
“Tindakan itu juga bukanlah adat di Malaysia, malah ia merupakan budaya orang kafir. Apatah lagi, dalam sebuah hadis riwayat Imam Abu Daud, ada dinyatakan secara jelas bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008 membincangkan hukum wanita berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook miliknya.

Dalam pada itu, ustazah turut mengatakan sebagai isteri, kita sememangnya wajib untuk mentaati perintah suami, namun tidak jika ia membabitkan perkara-perkara dilarang oleh agama Islam seperti menindik lidah.
“Benar, kedudukan suami tinggi di sisi isteri dan isteri sememangnya wajib untuk mentaati suaminya selagi mana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama.
“Bagaimanapun, isteri tidak wajib patuh dengan permintaan suami yang menginginkan isterinya melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama Islam seperti menindik lidah ini,” tulisnya.
Mengulas tentang hukum berhias, ujar pendakwah itu, hukum asalnya adalah harus selagi mana ia tidak berlebihan dan tidak menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’araf: 31)
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW melarang kita untuk berlebihan menerusi sabda Baginda: “Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang