Tiru aksi filem, budak 9 tahun jadi punca kebakaran di 13 lokasi
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mengejutkan penduduk Gang Amarta, Kelurahan Tipar, Kecamatan Citamiang, Sukabumi, Indonesia apabila dipercayai menjadi punca kepada beberapa siri kebakaran yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Tidak disangka, di usia sekecil itu, dia bertanggungjawab menyebabkan sebanyak 13 lokasi berbeza dilahap api, termasuk tujuh kebakaran yang berlaku dalam satu hari.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua RW 06, Ajis Muslim berkata, si kecil itu dipercayai bertindak sedemikian selepas terpengaruh dengan filem atau video yang ditontonnya. Menurutnya, kanak-kanak itu ada memberitahu bahawa dia pernah melihat adegan-adegan tertentu dalam filem, tetapi tidak dapat dipastikan filem apa yang menjadi rujukannya.
Tambah beliau, walaupun kanak-kanak itu dikenali sebagai seorang yang rajin menunaikan solat, tindakan berani dan berbahaya itu mungkin berpunca daripada kurangnya pengawasan daripada pihak dewasa.
Lebih mengejutkan, kanak-kanak itu berjaya diberkas oleh penduduk kampung sekitar pukul 4.30 pagi pada hari Jumaat lalu ketika cuba memulakan satu lagi kebakaran baharu.
Penduduk yang sudah lama curiga dengan siri kebakaran itu akhirnya dapat menahan suspek utama dan terus menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Sukabumi, AKBP Tony Prasetyo turut mengesahkan perkara tersebut. Katanya, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak tersebut mengaku bahawa dia meniru aksi dalam filem yang sering ditontonnya melalui telefon bimbit.
Tambah Tony, kanak-kanak itu juga masih bersekolah rendah dan insiden ini jelas menunjukkan betapa pengaruh kandungan media terhadap kanak-kanak sangat besar jika tiada kawalan sewajarnya.

Siri kebakaran tersebut dilaporkan bermula pada hari Rabu, ketika waktu Maghrib, di kawasan RW 06. Api dipercayai bermula daripada pembakaran sampah yang kecil, namun tidak disedari sehingga merebak dan membakar sebuah rumah yang terletak berhampiran dengan masjid.
Malangnya, kebakaran berterusan dan berulang pada waktu Subuh keesokan harinya sebelum kemuncaknya berlaku pada hari Jumaat. Api muncul di beberapa lokasi secara serentak dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Secara keseluruhan, sebanyak 13 lokasi kebakaran telah dikenal pasti. Tujuh daripadanya berlaku dalam satu hari yang sama, melibatkan kawasan RW 06 dan juga sempadan RW 05. Kejadian berkenaan bukan sahaja mencetuskan kebimbangan, tetapi menunjukkan betapa pentingnya pemantauan terhadap penggunaan gajet dan kandungan yang ditonton oleh kanak-kanak masa kini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
