Tragedi Putra Heights: Akuarium menggelegak, kenderaan cair akibat suhu 1,000°C buat penduduk trauma. 'Ramai cedera kaki, selipar jadi lembut'

No Image Caption
A
A
A

MENDENGARKAN cerita penduduk sekitar lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Aidilfitri kedua sangat menakutkan.

Siapa sangka pada pagi Syawal yang hening, kebakaran yang mengakibatkan letupan api menjulang lebih 20 tingkat mencecah suhu 1,000 darjah Celsius!

Betapa dahsyatnya bencana itu meninggalkan lokasi berhampiran umpama padang jarak padang tekukur.

No Image Caption



Secara keseluruhan, 237 buah rumah terjejas; 305 mangsa cedera akibat melecur dan tersedut haba panas.

Bagi penduduk sekitar yang pertama kali berdepan situasi itu, mereka cemas dan tidak sempat berfikir untuk lari ke arah mana, sebaliknya hanya mampu berlindung di kawasan sungai yang berhampiran.

Seorang pekerja swasta, Siti Fauziah Hasnan, 32, berkata semasa kejadian, tidak ramai yang berada di kawasan rumahnya kerana pulang ke kampung untuk beraya.

Beliau bersama beberapa individu lain terpaksa berlari dan berlindung di punca air berdekatan kerana kereta dan motosikal yang berada sekitar rumah mereka sudah mula mencair.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:


"Mulanya saya terpinga-pinga, tetapi kami berjaya keluar dan menyelamatkan diri setelah beberapa individu tahu jalan lain yang boleh mengelak bahang itu. Memang ramai cedera di kaki, termasuk saya, kerana selipar yang dipakai menjadi lembut," katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini, beliau dan keluarga belum pulang ke kediaman mereka untuk memeriksa keadaan rumah, sebaliknya memilih menenangkan diri di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

MOTOSIKAL CAIR TAK SEMPAT BAYAR

Sementara itu, penghantar barang, Jasni Abdul Manap, 47, pula amat terkesan kerana motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang baharu sahaja dibeli hangus sebelum sempat membuat pembayaran pertama.

Kata Jasni, ketika kejadian, beliau bersama isteri serta dua anak perempuan mereka pulang beraya di Kuala Kangsar, Perak sebelum dimaklumkan oleh rakan mengenai kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumahnya.

"Saya sangkakan stesen minyak berdekatan, rupanya paip yang meletup betul-betul di belakang rumah saya...

Tiga buah motosikal dan barangan dalam rumah, termasuk komputer riba milik anak yang baru dibeli dua bulan lepas, hangus," katanya.

No Image Caption



Jasni, yang sepatutnya pulang pada Jumaat, kini berlindung sementara di PPS Dewan Camelia dan belum berpeluang memeriksa keadaan rumahnya.

ABAI MEJA CAIR GIGIH CARI IBU

Tragedi yang berlaku juga menyaksikan momen air mata apabila seorang kanak-kanak tidak berputus asa mencari dan mendapatkan ibunya.

Pemilik kedai makanan, Faizal Zakaria, 56, berkata, meja di kedainya mencair selepas digunakan oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 12 tahun sebagai pelindung ketika mencari ibunya semasa kejadian.

"Kanak-kanak itu melecur pada bahagian belakang badan, tetapi dia tetap pergi mencari dan memeriksa keadaan ibunya di rumah yang tidak jauh dari kedai saya," katanya.

No Image Caption



Faizal, yang kelihatan cuba menenangkan dirinya ketika ditemu bual oleh pemberita berkata, walaupun ditimpa musibah, beliau tetap bersyukur kerana hanya bahagian belakang kenderaan dan kawasan luar rumahnya sahaja yang terkesan akibat insiden itu, manakala bahagian dalam rumah masih dapat diselamatkan.

Kebakaran yang berlaku kira-kira 8 pagi mencetuskan letupan kuat dan gegaran di kawasan sekitar serta api marak yang menjulang lebih 100 kaki (30 meter) ke udara. Kebakaran itu berlarutan kira-kira lapan jam dan memusnahkan rumah serta harta benda.

Selain 305 mangsa cedera akibat melecur dan tersedut haba panas, sebanyak 365 buah kenderaan terbakar melibatkan 275 kereta serta 56 motosikal dalam kejadian menyayat hati itu.

Sumber: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang