Tragedi rombongan sekolah: Cikgu sempat tanya anak, video call suami sebelum 'pergi' selamanya ketika bertugas

No Image Caption
A
A
A

PEMERGIAN Penolong Kanan 1, Cikgu Hasnatul Adilah Hasan, 48, dalam kemalangan melibatkan bas merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat pada 1.30 pagi Ahad meruntun hati warganet. Maut di tempat kejadian, pendidik SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka itu sempat menghubungi suami sebelum tragedi.

Suaminya, Cikgu Saifullizan Abu, 53, berkata Allahyarham menghubunginya kira-kira jam 12 tengah malam memaklumkan rombongannya masih dalam perjalanan dan mahu tidur. Lelaki itu tidak menyangka ia adalah panggilan terakhir mereka berdua.

Ketika itu, arwah berkata tidak pasti lokasi keberadannya kerana keadaan gelap.

No Image Caption

"Saya hanya mengetahui tentang kejadian kira-kira jam 3 pagi selepas dihubungi anak yang memberitahu isteri dan seorang lagi anak, Mohd Farouq, 12, yang ikut serta dalam rombongan itu terbabit kemalangan.

"Saya terkejut dan tidak menyangka kemalangan itu berlaku hingga meragut nyawanya," katanya yang menemui Hasnatul Adilah sebelum rombongan lawatan penanda aras sekolah isterinya bertolak ke Terengganu.

Foto berkumpulan tular dipercayai rombongan sekolah berkenaan ke SK Kompleks Seberang Takir, Terengganu.
Foto berkumpulan tular dipercayai rombongan sekolah berkenaan ke SK Kompleks Seberang Takir, Terengganu.

Lebih memilukan, media melaporkan arwah sempat bertanya tentang anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Ketika itu arwah masih sedar dan salah seorang rakan kami ajarnya mengucap.

"Dia (arwah) sempat tanya anaknya dan kami beritahu anaknya yang turut cedera masih dalam bas," kata guru lain, Asmaniza Mohamad, 50, yang ternampak guru berkenaan berada dalam keadaan tertiarap berhampiran pokok.

No Image Caption

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka untuk dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat.

Selain arwah, turut maut seorang lagi penumpang, Hamzah Ahmad, 60 dan pemandu kedua bas terbabit, Mohd Adi Hasan, 29.

No Image Caption

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu itu hilang kawalan sebelum terbalik selepas melanggar lori sarat dengan muatan gelung.

No Image Caption

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori treler sebelum terbalik di cerun tepi jalan.

Dalam pada itu, Nor Azman meminta saksi untuk tampil membatu memberikan maklumat mengenai kemalangan itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang