Tular kemalangan ragut 6 nyawa, takdir hadirkan bahagia — Abdul Rahman selamat bergelar suami pada usia 21 tahun
MUNGKIN ramai yang masih mengingati tragedi pilu yang meragut nyawa enam sekeluarga dalam kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat–Kuantan pada awal September 2023.
Kisah duka itu pernah mengundang sebak seluruh negara, khususnya apabila anak sulung pasangan berkenaan terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia yang masih muda.
Namun, takdir Tuhan sentiasa menyimpan hikmah. Anak sulung, Abdul Rahman Amir Ruddin, 21, yang lebih dikenali sebagai Aman, kini membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila selamat melangsungkan perkahwinan bersama wanita pilihan hatinya pada Sabtu.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Aman menerusi platform TikTok, sekali gus mengundang doa dan ucapan tahniah daripada warganet yang mengikuti perjalanan hidupnya sejak tragedi tersebut.
"13 Disember 2025, saya terima nikah Wahidatul Imtiyazzah dengan mas kahwinnya seutas gelang emas tunai," kongsinya.
Artikel berkaitan:
- Al-Quran milik adik perempuan dipulangkan kepada Abdul Rahman, selitan nota ibu buat ramai sebak
- Hilang 6 insan tersayang sekelip mata, Abdul Rahman ditaja umrah
- 'Inilah rumah baru Ibu & Abi.' Sebaknya! Video Abdullah lawat pusara 6 sekeluarga runtun jiwa netizen
- 'Semoga peroleh segulung ijazah.' Abdul Rahman hilang 6 sekeluarga dalam kemalangan kini bergelar siswa buat netizen sebak
Turut dimuat naik ialah beberapa keping foto majlis pernikahan yang sederhana tetapi sarat dengan nilai kesyukuran, sekali gus mengundang ribuan ucapan tahniah serta doa daripada warganet.
Lebih menyentuh perasaan, Aman turut berkongsi luahan hatinya yang menggambarkan kesedaran mendalam terhadap tanggungjawab sebagai seorang suami. Luahan itu diolah dalam bahasa yang penuh keinsafan.
“Pada hari ini, aku menerima nikahmu, dan aku merasakan betapa beratnya amanah yang dititipkan oleh ALLAH di bahuku.
"Aku menyedari bahawa cinta bukan sekadar perasaan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dijaga dengan kesabaran, pengertian dan keikhlasan.
"Aku berjanji untuk menjadi temanmu dalam susah dan senang pelindung hatimu ketika dunia terasa berat dan peneduh jiwa dalam setiap langkah perjalanan hidup kita,” titip Aman.
Manakala ibu sudaranya, Nora Hila tidak lupa menitipkan harapan dan doa buat Aman.

"Mak Ila dan Pak Long hadir ke majlis pernikahan kamu Aman. Sekarang kamu sudah menjadi ketua keluarga dan menjadi imam untuk isteri sama macam (arwah) abi.
"Jadikan abi contoh terbaik sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan soleh. Sedih melepaskan tapi kena berdamai dengan takdir," titip Nora Hila atau lebih dikenali sebagai Mak Ila.
Perkongsian Aman meraih perhatian ramai khususnya yang mengikuti perkembangan dia dan adiknya, Abdullah yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat.
Warganet menitipkan ucapan selamat pengantin baharu dan mendoakan agar Aman dan pasangan memperolehi kebahagiaan dan perkahwinan yang dibina sentiada di dalam rahmat ALLAH.

Imbas kembali, kemalangan yang menimpa meragut nyawa enam sekeluarga iaitu bapa Amir Ruddin Ismail, 46; ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43; anaknya Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, mengejutkan rakyat Malaysia.
Mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar ibu, Allahyarham Noorahimah yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.
Tujuh beranak itu menaiki Perodua Alza dan pada hari kejadian, hanya Abdul Rahman tidak ikut bersama kerana ada urusan lain.
Abdullah, 17, yang terselamat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, usus dan paru-paru.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
