Ugutan terhadap Dr Jessie: Lelaki 61 tahun ditahan polis, peguam beri amaran jangan perlekeh kepakaran
PAKAR patologi forensik Dr Jessie Hiu yang menjadi saksi dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir telah membuat laporan polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan itu dibuat susulan ugutan yang diterima di media sosial terhadapnya.
"Laporan polis dibuat selepas dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ugutan berkenaan di media sosial," kongsinya.
Kurang 48 jam, seorang lelaki warga emas ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada Ahad.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, warga emas berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi susulan kenyataannya di laman Facebook menggunakan akaun bernama ‘Amung Kamaruddin’ yang berunsur ugutan jenayah serta penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian terhadap seorang pakar patologi di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

"Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes tersebut dan turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit.
"Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook 'Amung Kamaruddin' yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Susulan itu itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.
"Orang ramai digesa untuk sentiasa peka dan berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.

Terdahulu, peguam keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail pada Sabtu berkongsi hantaran di media sosial meminta orang ramai tidak mempertikaikan atau memperkecilkan kemahiran Dr Jessie.
"Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan merendah-rendahkan kepakaran beliau tidak memberi sebarang kebaikan kepada sesiapa pun.
"Kami akan menyoal beliau lagi pada minggu depan," kongsinya di Facebook.
Dr Jessie, 58, berkhidmat di HQE sejak 1998, memiliki kelayakan ijazah perubatan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1991 dan Ijazah Sarjana dalam bidang patologi daripada Universiti Malaya pada 1998.
Beliau juga adalah ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Malaysian Society of Forensic Medicine and Science dan Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science.
Terdahulu, Dr Jessie menolak kemungkinan Allahyarhamah Zara Qairina ditolak atau diserang sehingga jatuh dari tingkat tiga asramanya, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.
Sekadar info, prosiding inkues bagi kes kematian Zara Qairina yang bermula oada 3 September akan berlangsung selama 19 hari.
Tarikh prosiding akan datang adalah 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September menyaksikan lebih 60 lagi saksi akan dipanggil.
Sumber: Sinar Harian, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

