Umur 70 tahun mampu angkat berat 60kg, nenek 'power' ini bukti hidup sihat tak ada 'tarikh luput'
SIAPA kata sudah masuk umur 70 tahun kena duduk rumah sahaja, tengok drama petang sambil lipat kain? Nah, seorang nenek dari Singapura ini membuktikan yang usia itu cuma nombor!
Pada usia senja tetapi boleh angkat berat sampai 60kg, sama berat dengan badan beliau sendiri. Fuh! Kalah anak muda yang masih cari alasan ‘malas’ nak bersenam.
Kisah nenek ‘power’ ini mula jadi tular apabila videonya mengangkat berat tersebar di media sosial. Dengan badan kecil molek tetapi semangat yang besar. Memang tak sangka empunya diri, Noriah Salikin, mampu membuat pergerakan badan yang tangkas dan ligat.
Ramai yang kagum dan terinspirasi. Mana tidaknya, nak angkat dumbel 10kg pun kita dah semput, tetapi beliau mampu melakukan deadlift 60kg! Rutin kecergasannya termasuk senaman burpee, push-up, hanging abs crunches dan latihan berselang berintensiti tinggi (HIIT).

Menurut laporan Berita Harian Singapura, ibu kepada empat orang anak ini mula aktif ke gim disebabkan oleh masalah kesihatan pada usia 40-an. Ketika itu, dia sedar bahawa jika tidak jaga badan, makin tua makin banyak risiko. Jadi, wanita tersebut ambil langkah bijak mula bersenam dengan bimbingan jurulatih peribadi.
Mula-mula itu biasalah, ada suara sinis. “Eh nenek tua pun nak ke gim?” Tetapi beliau hanya abaikan. Tak kisah pun orang nak cakap apa. Sebolehnya, pada usia yang semakin meningkat, dirinya cuba elakkan daripada jatuh sakit dan menyusahkan keluarga.
Tekad dan keberanian nenek kepada enam orang cucu ini terbukti berjaya meningkatkan tahap kesihatannya, malah menjadi inspirasi kepada orang ramai. Malah, suaminya sendiri yang berusia 74 tahun sudah mula mengikut jejak langkahnya dengan melakukan aktiviti kecergasan.
Apa yang nenek itu lakukan patut dijadikan contoh untuk semua golongan. Zaman sekarang, ramai orang muda cepat letih, tak larat, naik tangga sikit pun dah rasa nak pengsan.
Sebenarnya, bersenam pada usia emas bukan untuk masuk pertandingan tetapi lebih kepada jaga kesihatan, kuatkan tulang, kurangkan risiko jatuh dan elakkan penyakit kronik.
Tak payah tunggu dah sakit baru nak mula jaga badan. Mulakan dari sekarang. Buat sikit-sikit, lama-lama jadi biasa. Kalau rasa malu nak ke gim, mulakan di rumah dahulu.
Warga emas ini memang bukan calang-calang. Dia bukti hidup sihat dan aktif ‘tanpa tarikh luput’. Kita patut ambil semangat beliau dan jadikan inspirasi. Selepas ini, kalau rasa malas nak bersenam, ingat balik kisah nenek ini. Kalau dia boleh, apa alasan kita, kan?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
