Ustazah Asma' Harun kongsi akronim KERJAYA, tip ibu ayah seimbang kerja dan keluarga
Pendakwah, Ustazah Asma' Harun baru-baru ini ada memberi ceramah tentang kerjaya dan keluarga dalam sebuah seminar. Menurut beliau, kedua-duanya penting kerana kita keluar bekerja untuk keluarga.
Oleh sebab itu, kerjaya dan keluarga saling melengkapi kerana kita tidak akan mampu untuk mendapat keluarga yang harmoni jika tidak keluar dan berkorban diri mencari rezeki.
"Jadi dalam Islam, jelas bahawa mencari rezeki itu wajib bagi seorang lelaki, sebagai seorang suami, untuk bekerja. Tidak sekadar bekerja biasa, tetapi mencari rezeki dan nafkah untuk keluarga adalah hukumnya wajib.
"Jika tidak bekerja atau tidak mencari nafkah untuk keluarga, lelaki tersebut akan berdosa. Manakala bagi wanita pula, keluar bekerja bukanlah wajib. Namun, apabila seorang wanita keluar bekerja demi membantu keluarga, bukan untuk kepentingan dirinya semata-mata, tetapi untuk dikembalikan kepada keluarga. Pahalanya berganda dan perbuatannya sangat mulia," kata beliau dalam program SUMMIT Parenting 2025.
Namun begitu, kesibukan kerja tidak boleh dijadikan penyebab ibu ayah untuk tidak ambil berat tentang perihal keluarga terutamanya anak-anak.
Oleh itu, ustazah Asma' sempat berkongsi ilmu kepada ibu bapa mengikut akronim KERJAYA boleh diamalkan bersama keluarganya.
K - Kasih sayang
Kita mulakan dengan K iaitu kasih sayang. Dan saya nak fokus kasih sayang pada perkataan sahaja. Penting sangat, terutamanya untuk ibu ayah muda hidup zaman sekarang yang mana semua orang menunjukkan secara terbuka siapa yang romantik, siapa yang berkasih sayang, terutamanya di media sosial.
Jadi, keinginan untuk menzahirkan kasih sayang lebih tinggi. Keperluan untuk menzahirkan itu juga lebih tinggi berbanding zaman dahulu.
Jadi, ibu ayah perlu selalu:
Panggil sayang, sama ada panggil pasangan atau anak dengan perkataan itu.
Cakap sayang, tiga patah perkataan boleh mengubah kehidupan kita, contohnya:
"I love you."
"I miss you."
"I need you."
"I want you."
Namun, tiga patah perkataan negatif juga boleh mengubah kehidupan, contohnya:
"I hate you."
"I bosan dengan you."
"I ceraikan you."
Ayat perlu disebut sambil melihat mata mereka dan menekankan perkataan "sayang". Biasakan ibu ayah untuk mengucapkan sayang kepada suami atau isteri di depan anak-anak.
Sebagai contoh, Umi berkata, "Umi nak cakap sesuatu." Anak-anak pun akan sambut, "Ya, dah tahu dah Umi nak cakap apa, Umi sayang Abi." Ayah juga perlu menyatakan sayang seperti, "Ayah nak cakap. Ayah sayang sangat dekat Mak." Nyatakan sayang depan anak-anak.
Ini adalah asas dalam berkasih sayang. Saya tahu ramai lelaki susah nak ucap kerana bagi mereka, prinsip berkasih sayang lebih penting melalui perbuatan. Tetapi pada hari ini, perkataan yang dizahirkan dan disebut sangat penting, terutama untuk wanita yang perlu mendengarnya.
E - Emosi
Siapa yang nak anaknya memiliki empati, mendengar kata, kasih sayangnya tinggi, atau mudah melakukan apa yang disuruh, perlu tahu bahawa emosi adalah perkara paling utama. Ia lebih penting daripada memberi ilmu atau pengisian rohani semata-mata.
Dalam membentuk emosi anak, ibu bapa perlu menunjukkan lima perkara di depan anak:
- Suami cium isteri depan anak-anak.
- Ciuman kasih sayang, seperti di dahi atau kepala, bukan ciuman seksual.
- Peluk pasangan. Peluk kasih sayang, seperti bahu atau sebelah tepi, bukan pelukan romantik.
- Minta maaf depan anak-anak. Jika bergaduh depan anak, minta maaf juga depan anak supaya mereka tahu contoh yang baik.
- Pegang tangan pasangan ketika berjalan.
Walaupun tengah panas atau merajuk, tindakan ini menunjukkan kasih sayang dan jaminan kepada anak-anak.
Beri hadiah. Walaupun sekecil-kecil hadiah, beri depan anak-anak untuk mengukuhkan emosi positif dalam keluarga.
Jika lima perkara ini dilakukan secara rutin, ia akan melahirkan anak-anak yang taat, berkasih sayang, dan mempunyai empati tinggi. Anak-anak yang membesar melihat ibu bapa berkasih sayang akan mempunyai emosi yang stabil dan merasa terjamin dalam rumah tangga.
Sebaliknya, jika ibu bapa kurang komunikasi atau mesra, anak-anak akan menjadi kasar, memberontak, atau jauh daripada keluarga. Namun, satu hari sahaja kita mesra dan berkasih sayang, anak-anak dapat merasai perubahan itu dan mengembalikan kasih sayang kepada kita.
R- Rasa
Tolong rasakan kewujudan kita di depan anak-anak. Cabaran utama kini adalah telefon. Jika anak pulang dari sekolah dan ingin bercerita, letakkan telefon, beri perhatian, dan dengarkan mereka sepenuhnya. Nabi Muhammad SAW sendiri memberikan contoh ini dengan menghentikan khutbah apabila cucunya datang.
J - Jinak
Anak dan pasangan memerlukan sentuhan kasih sayang seperti membelai, memimpin tangan, atau memeluk. Anak yang kurang dibelai akan mencari kasih sayang di luar rumah.
A - Ambil berat
Ambil berat dengan bertanya soalan seperti "Dah makan belum?" atau "belajar macam mana hari ini?" Tetapi pastikan soalan itu ditanya dengan sepenuh perhatian, bukan sekadar formaliti.
Y- Yakin
Yakinkan anak dengan pujian. Pujian dari ibu bapa tidak akan membuatkan anak menjadi riak, sebaliknya akan membina keyakinan diri mereka.
A- Ajak
Ajak anak melakukan sesuatu bersama seperti "Jom sapu rumah," berbanding hanya menyuruh. Cara ini lebih efektif untuk membentuk ciri kepimpinan dalam diri mereka.
Akhir sekali, perkataan akronim K (kasih sayang), E (emosi), R (rasa), J (jinak), A (ambil berat), Y (yakin), dan A (ajak) adalah asas dalam mendidik anak-anak dan membentuk keluarga yang bahagia.
Diharapkan ibu ayah mampu terapkan tip ini bersama anak-anak. Walaupun bukan semua, tetapi sebahagian pun sudah memadai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang