Video tular suami sebak kucup jenazah isteri, pendarahan otak lepas bersalin anak kedua. 'Jangan lupa datang dalam mimpi anak-anak'

No Image Caption
A
A
A

 

ARWAH pergi sebelum sempat melihat zuriat keduanya asbab sawan ketika hamil meninggalkan suami dan tinggal si suami dengan dua cahaya mata dengan seribu kenangan.

Video tular Khairul Azhar Jainal Abidin, 27, mengucup jenazah isteri, Ain Farhana Mohd Fadzli diiringi air mata meluluhkan hati sekali gus mengundang lebih 82,000 reaksi warganet.

Menerusi laporan Sinar Harian, Khairul Azhar sempat berkongsi keadaan arwah yang tidak memiliki apa-apa masalah kesihatan sehingga sakit kepala dan migrain sehingga kandungan memasuki bulan kesembilan.

No Image Caption

Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda sehingga mengalami komplikasi pendarahan otak kecuali pening dan migrain enam hari sebelum bersalin.

“Sebelum mengandung anak kedua, isteri saya pernah mengadu sakit kepala kerana migrain. Dia pernah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital tetapi tidak sempat untuk membuat imbasan tomografi berkomputer kerana disahkan mengandung.

“Selama sembilan bulan kandungan kedua ini, rekod perubatan isteri tiada masalah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Sepatutnya, dia bersalin pada 17 Julai ini tetapi pada hari Jumaat, 11 Julai, dia mengadu pening kepala. Keesokan hari, saya bawa dia ke klinik dan doktor hanya berikan rawatan biasa.

“Pada petang Sabtu, isteri mengadu sakit kepala sekali lagi dan tiba-tiba dia diserang sawan.

"Ambulans datang untuk membawa isteri ke hospital terdekat. Pegawai perubatan yang buat pemeriksaan pada isteri beritahu bahawa tekanan darah isteri tinggi waktu itu,” katanya.

Tutur Khairul Azhar, disebabkan keadaan itu, doktor pakar meminta keizinan untuk membuat pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan bayi dan selepas sejam, anaknya selamat dilahirkan dan diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal.

Menurutnya, Ain Farhana pula kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi (HDU).

"Saya berjumpa isteri selepas itu dan berborak seperti biasa. Tekanan darahnya juga kembali normal.

"Doktor memaklumkan Allahyarham Ain Farhana mengalami eklampsia dengan keputusan imbasan tomografi berkomputer menyatakan saluran darah di kepala isteri sudah bengkak.

"Doktor memberitahu Ain Farhana sepatutnya perlu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, tetapi dia telah mengalami serangan sawan ketika di dalam wad.

No Image Caption

"Walaupun doktor pakar telah menjalankan pembedahan bagi membuang darah di kepala namun keadaannya masih kritikal.

"Isteri tidak sedarkan diri ketika itu. Doktor beritahu tindak balas anak mata tidak berapa bagus. Ketika itu saya terduduk dan merasakan adakah ini tanda-tanda isteri akan meninggalkan saya?

“Tiga kali doktor membuat imbasan tomografi berkomputer. Keadaan otak isteri sudah dipenuhi darah. Peluang untuk isteri sembuh memang nipis. Pada hari Rabu, doktor mahu membuat ujian untuk memastikan sama ada isteri mengalami kelumpuhan otak atau pun tidak.

“Setelah tiga hari doktor bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawa isteri saya, akhirnya dia meninggal dunia pada Khamis malam selepas doktor menghentikan bantuan oksigen. Saya reda dengan ujian ini," ujarnya dengan nada sedih.

Kepada Sinar Harian, Khairul Azhar turut meluahkan ucapan terakhir yang menyentuh hati.

“Abang reda dan halalkan semuanya. Jangan lupa datang dalam mimpi anak-anak," katanya.

Lebih menyedihkan, solat jenazah suri hati disempurnakan di Masjid Al-Falah, Kampung Idaman di Pelabuhan Klang merupakan tempat yang sama mereka diijabkabulkan.

Pemergian arwah meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Uthman Attaki, 2, dan bayi yang baru lahir, Helena Attiya.

Sumber: Sinar Harian

 

 

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang