Wajar jadi ikutan! Pempengaruh ini buat aktiviti amal, lancar 30 hari 30 cuci surau raih perhatian ramai

PALING tidak merisaukan untuk orang Islam di Malaysia sekiranya sudah masuk waktu solat apabila kemudahan surau mudah untuk didapati di luar sana. Terutamanya di kawasan tumpuan ramai seperti stesen minyak, pusat beli-belah dan kawasan rehat lebuh raya.
Namun begitu, disebabkan sering digunakan oleh orang ramai untuk menunaikan solat dan kurang penjagaan membuatkan ia menjadi kurang keselesaan untuk beribadah.
Terkenal sebagai individu yang sering membuat 'review' surau di serata tempat, seorang pempengaruh media sosial membuat aktiviti amal dengan membersihkan sebanyak 30 surau selama 30 hari bulan Ramadan.
Dalam perkongsian di TikTok @rusydi.official, antara surau yang akan dibersihkan oleh beliau seperti di stesen minyak atau mana-mana surau awam. Katanya sebelum ini, berdasarkan beberapa review yang telah dilakukan, kebanyakan surau di tempat awam memiliki kebersihan yang kurang memuaskan.
Dalam pada itu, mana-mana individu yang berminat untuk bekerjasama dengannya dalam misi tersebut juga dialu-alukan untuk menghubunginya menerusi laman Tiktok tersebut.
Bermula hari pertama puasa iaitu pada 2 Mac lalu, Rusydi telah memulakan misi dengan membersihkan surau di sebuah stesen minyak di Nilai, Negeri Sembilan.
Menerusi video berkenaan, kelihatan Rusydi menunjukkan keadaan surau kurang memuaskan serta memerlukan kerja pembersihan dengan kadar segera.
Kata Rusydi, kesemua barang yang digunakan untuk membersihkan surau berkenaan seperti sabun, berus dan sebagainya adalah miliknya sendiri kecuali air.
“Kecuali air, saya telah minta izin terlebih dahulu untuk gunakan. Alhamdulillah, supervisor sini sambut usaha saya dengan sangat baik,” ujarnya.

Jelas pempengaruh itu lagi, proses untuk membersihkan surau terbabit memerlukan masa sekitar satu hingga dua jam.
Beliau turut mula melakukan kerja pembersihan itu pada awal pagi agar ia tidak mengganggu orang ramai untuk menggunakan ruang berkenaan pada waktu Zohor.
Bagi mengelakkan sebarang spekulasi, lelak tersebut juga memaklumkan, kerja pembersihan surau yang dilakukan itu tidak dibayar oleh mana-mana pihak sebaliknya hanya usaha sendiri.
“Harapan saya agar usaha kecil saya dapat beri manfaat kepada semua,” katanya.
Bukan hanya membersihkan ruangan solat serta kawasan wuduk, Rusydi turut membasuh segala barangan yang ada seperti karpet di bahagian wuduk, lipas dan menyembur pewangi pada sejadah dan menyusunnya semula.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata memuji usaha murni Rusydi melakukan kerja pembersihan dalam memberikan keselesaan kepada orang ramai untuk menggunakan surau dengan membuat pembersihan.
Malah ada juga yang ingin memberikan sumbangan untuk terus menyokong usaha Rusydi dan menitipkan pesan untuk menjaga kesihatan diri semasa berpuasa supaya tidak terlampau penat.
Beliau sememangnya wajar untuk meraih pujian dengan usaha yang di lakukan ini. Diharapkan lebih ramai dalam kalangan kita yang cakna tentang kebersihan surau awam supaya selesa untuk digunakan oleh orang ramai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang