Ya ALLAH, sedihnya…'– Ibu hamil burnout, telur beli dengan MyKasih pecah angkara Oyen, gaji suami pula belum masuk!

No Image Caption
A
A
A

TELUR pecah mungkin nampak remeh pada orang lain, tapi bagi seorang ibu hamil yang sedang penat, ia sudah cukup membuatkan air mata mengalir deras.

Bukan sekadar telur, tapi lambang pada segala penat, letih dan emosi yang ditanggung dalam diam.

Sejak hamil, air mata wanita ini jarang benar tumpah. Kalau pun menangis, biasanya sekadar bergenang tanpa suara. Namun kali ini, dia tewas. Tangisan teresak-esak penuh sendu pecah juga akhirnya, bukan kerana pergaduhan besar, bukan juga kerana masalah rumah tangga, tetapi kerana… telur.

“Sejak hamil dah lama tak menangis betul-betul sampai teresak, tapi tadi tewas juga.

"Tak tahu emosi hamil ke apa, tapi menangis bersungguh-sungguh sampai tersedu sebab rasa burn out dan terlalu penat,” tulisnya dalam satu perkongsian di media sosial.

Petang itu, dia baru sahaja membeli telur menggunakan bantuan MyKasih kerana suaminya hanya menerima gaji pada 27 haribulan.

Sambil mengira bajet dapur yang makin ketat, dia sudah pun merancang untuk memasak lauk paling simple tetapi menyelerakan iaitu telur berlada. Namun, siapa sangka saat pulang ke rumah, semua harapan musnah. Telur yang baru dibeli habis pecah gara-gara seekor kucing peliharaan, si Oyen.

“Ya ALLAH, sedihnya. Tengah-tengah tak ada duit, tengok pula jadi begini. Macam mana lah tak koyak,” luahnya lagi.

Saat itu, dia terduduk sambil menangis. Suaminya yang cuba membersihkan keadaan pula sedikit emosi dan menegur, “Tak payah menangis benda macam ni,” bimbang isterinya yang menghidap asma akan sesak nafas.

Namun bagi si isteri, tangisan itu bukan sekadar kerana telur pecah. Ia adalah limpahan rasa penat, burnout, serta emosi yang bercampur baur sepanjang kehamilan. Bayangkan, dengan tenaga yang makin berkurang, badan yang cepat letih, ditambah pula tekanan kewangan dan kerenah si bulus — semua itu bercantum menjadi beban di bahu.

Dalam esakan, dia sempat menepuk-nepuk kucing itu sambil berjurai air mata dan membebel kecil: “Dah bagi makan kan, kenapa buat macam ni?” Lucu tapi penuh makna.

Oyen bukan kali pertama buat perangai. Ada sahaja aksi nakalnya — pecahkan bekas rempah, sepahkan tong sampah, usik barang dapur. Selama ini, tuannya masih boleh bertahan, sekadar membebel sambil mengemas semula. Cuma kali ini lain. Rasa penat menjaga kandungan, risau tentang kewangan, ditambah pula telur yang dibeli dengan penuh harapan musnah begitu sahaja — cukup untuk membuatkan jiwa rapuh seorang ibu hamil akhirnya runtuh.

Ada orang mungkin berkata, “Ala… telur je pun.” Tetapi siapa yang pernah lalui fasa ini akan faham — benda kecil pun mampu jadi besar bila hati tengah rapuh. Dalam hidup berumah tangga, bukan hanya isu besar yang menguji kesabaran.

Kadang kala, kejadian remeh seperti makanan tumpah, barang hilang, atau kucing buat sepah boleh jadi pencetus air mata bila semua perasaan bercampur.

Perkongsian menerusi Thread ourlittlemiracle26 itu mendapat simpati ramai kerana ia menggambarkan realiti seorang ibu hamil, fizikal yang lemah, emosi yang sensitif, dan fikiran yang sentiasa memikirkan “cukupkah untuk esok?”

Benarlah kata orang, kehamilan bukan sekadar perjalanan membawa nyawa baharu, tetapi juga ujian besar kepada kekuatan mental dan emosi seorang wanita.

Namun di sebalik tangisan, ada kasih. Kasih pada suami yang tetap membantu walau dalam keadaan marah-marah. Kasih pada si Oyen yang nakal tapi tetap menjadi sebahagian keluarga kecil mereka. Dan kasih pada kehidupan itu sendiri — walaupun penuh ujian, tetap dilalui dengan tabah.

Apa yang boleh kita pelajari? Kecil bukan bermakna remeh. Sesuatu perkara boleh jadi besar pada orang lain kerana mereka menanggung banyak beban serentak.

Menangis bukan tanda lemah, sebaliknya satu cara tubuh melepaskan tekanan. Kadang kala, telur pecah bukan sekadar telur, ia lambang segala penat dan letih yang dipendam.

Buat si ibu hamil ini, semoga ALLAH gantikan yang hilang dengan rezeki lebih baik. Telur berlada mungkin tak kesampaian hari itu, tapi kasih sayang, doa, dan sabar yang lahir daripadanya jauh lebih bernilai.

Ini kerana, di hujung semua kepenatan, ada hadiah indah menanti iaitu cahaya mata yang bakal menambah warna dan bahagia dalam hidup mereka.

No Image Caption

Kepada anda yang ingin healing atau memulihkan tenaga dan semangat, anda boleh bersama dengan sesi Kasih Fun Run"Awak OK tak?" sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 pada 12 Oktober 2025.

Bermula pada jam 7 pagi, sama-sama berkumpul di  Dataran DBKL – KL Car Free Morning untuk sama-sama berlari dan berjalan sejauh lima kilometer!

Setiap langkah anda, bukan sekadar sihat tetapi juga menyokong kebajikan. Yuran hanya RM30 sahaja merangkumi jersi, pingat, bib larian dan pokok mini yang comel!

Bayaran berkenaan akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi 03-51017388 / 018-2020086 / 0133331502

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang