Kelupis kuih istimewa orang Sabah menggunakan daun irik
PADA pandangan mata kasar, ada yang berpendapat ia adalah pulut panggang. Namun, sebenarnya kuih yang diketengahkan pada segmen Resipi Orang Kita kali ini adalah kelupis yang hanya boleh didapati di Sabah.
Ya, rupa fizikalnya hampir sama, namun isi dalamnya dan cara masakan berbeza.
Menurut pengusaha kelupis, Marlena@ Nur Afiqah Madin, pulut panggang menggunakan kaedah memanggang atau digoreng di atas kuali tanpa minyak, sementelah kelupis dikukus.
Terlebih dulu, Marlena memberitahu, kelupis merupakan sajian tradisional warga pantai barat Sabah di sekitar daerah Papar, Membakut, Menumbok, Kuala Penyu dan Sipitang khususnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pada masa sama, kelupis yang diperbuat daripada beras pulut juga menu signatur dalam kalangan etnik Brunei.
“Ada segelintir individu beranggapan tekstur dan rasa kelupis sama seperti lemang. Hakikatnya, tidak sama sekali. Persamaan cuma terletak pada bahan-bahan utama iaitu beras pulut dan santan.
“Namun begitu, lemang menggunakan daun pisang dan diisi di dalam bekas buluh lalu dibakar hingga masak.
Sementara itu, kelupis perlu melalui beberapa proses sebelum enak dinikmati bersama kuah kacang, kari atau rendang mengikut cita rasa masing-masing,“ jelas anak jati kelahiran Sabah itu ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Sesuai disejuk beku
Menceritakan tentang proses membuat kelupis, Marlena, 41, berkata, beliau selalunya akan mencuci bersih beras pulut sebelum ditanak.
Kemudian, pulut digaul bersama santan pekat dan dikukus separuh masak. Selesai proses berkenaan, pulut akan dibungkus di dalam daun irik sebelum dikukus semula selama sejam, kata wanita itu.
“Ada yang menggunakan daun kelapa, tetapi majoriti lebih cenderung memilih daun irik kerana ia membangkitkan nilai rasa tersendiri,“ ujarnya yang belajar memasak kelupis daripada ibunya, Jijah Jamudin yang mewariskan resipi itu dari generasi ke generasi.
Berbicara lanjut, Marlena yang tinggal di Putatan, Sabah menjelaskan, daun irik adalah sejenis daun hutan yang lazimnya diperoleh di kawasan tanah lembap. Antaranya ialah di daerah Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang.
Dalam pada itu, Marlena yang turut menjual kelupis sejuk beku memberitahu, selain hari raya, kuih itu juga sering dihidangkan pada majlis kenduri-kendara dan perkahwinan.
Ia juga menjadi kudapan tradisi masyarakat Bisaya dan orang Kedayan pada Adat Makan Tahun.
Ujarnya lagi, jika sebelum ini masyarakat di Sabah perlu mengupas dan memarut kelapa bagi mendapatkan santan pekat sebelum memasak pulut beras untuk dijadikan kelupis tetapi kini semakin mudah.
Selari arus kemodenan, bahan-bahan utama itu mudah diperoleh di kedai runcit, pasar raya atau pasar awam.
“Bukan itu sahaja, kelupis mampu bertahan lama sekiranya ia dimasak dengan betul dan disimpan di dalam peti sejuk,“ katanya sebelum menamatkan perbualan bersama SinarPlus.
Resipi kelupis
Bahan-bahan
- 500 gram beras pulut
- 250ml santan
- 250ml air
- Sedikit garam
- Sedikit minyak masak (opsyen)
- 20-25 helai daun irik
Cara penyediaan:
- Cuci beras pulut, rendam seketika dan tos.
- Kemudian masukkan santan, air dan garam ke dalam kuali. Masak menggunakan api yang sederhana kuat sehingga mendidih dan pecah minyak.
- Selepas Itu perlahankan api, masukkan beras pulut dan gaul bersama minyak masak sedikit demi sedikit hingga sebati dan berkilat.
- Selepas selesai, letakkan nasi pulut di dalam bekas kering.
- Kemudian, bungkus nasi pulut di dalam daun irik.
- Kukus selama sejam.
- Sedia untuk dinikmati bersama kuah kacang, rendang atau kari.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang