Kulit tak glowing bukan sebab berpuasa, wajah kusam pun bukan faktor dapat kanser. Ini kata pakar

MASALAH kulit kusam sering menghantui kebanyakan individu tidak kira lelaki atau wanita. Salah satu faktor hal itu terjadi adalah disebabkan dehidrasi atau tidak meneguk air yang cukup.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Dove Press, penyelidik mendapati, terdapat korelasi yang rapat di antara air yang diminum dengan kesihatan kulit.

“Kuantiti (air) yang cukup akan membantu meningkatkan hidrasi daripada bawah permukaan kulit,“ kata Dove Press memetik penyelidikan itu.

SUMBER Lisa Fotios daripada PEXELS.

Persoalannya, pada bulan Ramadan yang menyaksikan hampir 14 jam kita tidak makan dan minum, bagaimana cara untuk mengekalkan kulit yang sentiasa segar dan berseri-seri?

Untuk menjawabnya, SinarPlus mendapatkan Pakar Dermatologi, Pantai Hospital Cheras, Dr Low Dyoi-E.

Sebelum itu, Dr Dyoi-E menerangkan definisi kulit kusam. Katanya, ia merujuk kepada keadaan kulit yang tidak bermaya, tidak berseri dan tidak berupaya memberi pantulan cahaya dengan baik.

Pendedahan kulit kepada tekanan oksidatif seperti cahaya ultraviolet, pencemaran alam sekitar khasnya udara termasuk amalan merokok juga mampu mengganggu pemulihan asid deoksiribonukleik (DNA) kulit dan seterusnya mencetuskan proses penuaan kulit, beritahu Dr Dyoi-E.

SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

“Selain itu, kekurangan rehat, tekanan emosi dan tidur lewat berupaya merencatkan proses penambahbaikan badan secara am serta kulit khususnya. Jika ‘tembok‘ badan kita yang paling luar (kulit) ini tidak dapat restorasi yang secukupnya, maka penampilan kulit tidak akan terserlah dan kusam jadinya,“ ujar beliau.

Kepada satu soalan, pakar kulit itu berkata, proses mencuci (scrubbing) atau eksfoliasi kulit menolong membuang lapisan kotoran, debu atau kulit mati yang menyumbat pori-pori kulit. Pun demikian, pemilihan produk mestilah bersesuaian.

“Bagi kaum Adam, kulit mereka biasanya lebih berminyak, produk cucian jenis berbiji-biji itu okey digunakan. Namun, untuk kaum Hawa, mungkin sesuai untuk kulit belakang badan sahaja (sebab tebal). Satu lagi, pencuci jenis kasar adalah tidak bersesuaian dengan individu berkulit sensitif (nipis),“ jelasnya.

Timbunan toksik

Menjawab pertanyaan tentang kemungkinan masalah kulit kusam timbul saat bulan Ramadan, demikian penjelasan Dr Dyoi-E.

SUMBER Arnie Watkins daripada PEXELS.

Beritahu beliau, semakin banyak kaji selidik saintis mendapati, intermittent fasting iaitu berpuasa secara berperingkat pada sela masa tertentu semakin mendatangkan kebaikan.

Sebelum itu ujarnya, data dan bukti yang tersedia menunjukkan berpuasa adalah amat bermanfaat kepada tubuh badan manusia, khasnya untuk mengurangkan berat badan dan khusus kepada pesakit kencing manis, darah tinggi termasuk kolesterol.

Amalan itu juga mampu meningkatkan kecerdasan minda dan kesihatan kulit, selain mengurangkan risiko jangkitan yang disebabkan oleh kencing manis (keadaan gula berlebihan).

“Semasa kita berpuasa, tahap hormon insulin menurun dan paras Human Growth Hormone (HGH) meningkat. HGH inilah yang bakal merangsang pemulihan sel-sel badan kita termasuk menambah baik kulit kita,“ katanya.

Dr Dyoi-E menambah, penyelidikan saintifik turut menyatakan, berpuasa bukan sahaja mampu mengurangkan pengambilan kalori, malah ia merangsang metabolisme badan manusia. Ia akan menyaksikan berat badan seseorang dan lemak visceral (lemak yang meliputi organ badan seperti hati) secara khususnya akan berkurang.

Jelas pakar tersebut lagi, hati merupakan kilang buang toksik yang paling penting di dalam badan manusia. Jika proses detoksifikasi hati tidak terganggu, maka tiada timbunan toksik di badan.

SUMBER Ketut Subiyanto daripada PEXELS.

“Seringkali tabiat makanan yang tidak sihat telah ‘membanjiri‘ hati manusia dengan lemak visceral sehinggakan proses detoksifikasi hati terganggu.

“Kesannya, toksik ini bakal dibuang melalui organ lain. Kulit kitalah menjadi antara mangsanya yang mana keradangan folikel (folliculitis) pada paras muka dan badan merupakan manifestasi toksik badan yang berlebihan,“ katanya.

Namun demikian, ujar Dr Dyoi-E, terdapat juga individu tertentu yang mengalami kemerosotan kulit sewaktu berpuasa, khasnya dalam kalangan mereka yang berlatar belakang atopi (meliputi lelah, resdung dan ekzema).

Golongan berkenaan ujarnya, mudah mengalami masalah seperti bibir mengelupas dan wajah yang kusam sewaktu berpuasa.

“Fenomena ini berpunca daripada lapisan kulit mereka yang lebih sensitif atau nipis. Lapisan kulit selaku organ terbesar badan manusia berfungsi sebagai benteng pertahanan badan daripada jangkitan kuman luar, perubahan suhu ekstrem dan pengekalan kelembapan kulit serta badan.

“Jika ia (benteng pertahanan) tipis, badan manusia berkecenderungan untuk hilang kelembapan dan seterusnya mencetuskan penampilan yang kusam, bibir kering dan masalah dehidrasi,“ kata beliau.

Seperkara, penggunaan air bersuhu tinggi tidak disarankan untuk membersihkan wajah, sebaliknya air suam atau sejuk yang disyorkan.

“Bagi yang memiliki kulit sensitif terutamanya, air panas akan menyebabkan kelembapan kulit tersejat dan akan jadi kering serta kelihatan tak bermaya,“ katanya.

Tidak cetus kanser

Dalam pada itu, Dr Dyoi-E menafikan wajah yang kusam boleh mengakibatkan kanser kulit.

“Orang ramai kena faham bahawa faktor kanser kulit biasanya adalah disebabkan pendedahan kepada cahaya matahari terik (cahaya ultraviolet), keluarga yang mempunyai sejarah kanser kulit dan golongan berkulit cerah serta tidak memakai pelindung matahari (sunscreen),“ terangnya.

Kulit kusam juga tegas beliau, tiada kaitan langsung dengan demam dan kulit melepuh.

Bercakap mengenai pelindung matahari, pakar tersebut berkata, krim berkenaan sangat bagus digunakan oleh rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja menghindarkan kulit daripada pancaran cahaya, malah dapat mengurangkan pembentukan jeragat, di samping melengahkan proses penuaan kulit.

Ujar Dr Dyoi-E lagi, seandainya seseorang sudah memakai pelembap kulit yang bernutrisi (ceramide atau panthenol), memakai serum bukanlah lagi jadi satu kemestian. Namun demikian, ramai yang menggunakannya.

SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

“Serum yang mengandungi hyaluronic acid dan retinol boleh membuatkan seseorang berwajah molek dan cantik.

“Hyaluronic acid berfungsi menggalakkan pembentukan kolagen kulit. Kulit lebih kenyal dan muda, selain mempercepatkan proses pemulihan luka. Retinol pula mampu membantu membuang lapisan kulit mati dengan cepat, mengurangkan jeragat dan kedutan kulit,“ jelasnya.

Jika pembaca SinarPlus perasan, syarikat farmaseutikal seringkali melabelkan serum mereka mangandungi hyaluronic acid dan retinol sebagai serum antipenuaan (anti-aging serum).

Iklan

Minum air putih

Apa cara yang paling ampuh untuk memastikan kulit seseorang sentiasa nampak segar, sihat, bersih, bersinar, anjal dan sentiasa cantik?

Tip yang dikongsikan Dr Dyoi-E amat mudah. Beliau menyarankan agar kita semua minum air kosong sebanyak yang boleh sewaktu berbuka puasa dan bukannya sirap, kopi atau teh.

“Minuman itu (kopi dan teh) mempunyai daya diuresis (kencing kerap) yang akan merosotkan kesegaran sel-sel kulit. Dari sudut kesihatan pula, sirap yang selalunya bergula tinggi mampu membawa kepada masalah obesiti,“ jelasnya.

SUMBER Moose Photos daripada PEXELS.

Selain itu, terdapat beberapa lagi pendekatan iaitu:

i. Mengaplikasikan pelembap yang mempunyai ramuan seperti ceramide tanpa pengawet.
ii. Menyapu krim pelindung matahari pada wajah.
iii. Mengurangkan aktiviti berjemur di bawah matahari.
iv. Kurangkan mandian menggunakan air panas kerana cara itu membuatkan kulit semakin kering.
v. Lebihkan makanan yang dapat meningkatkan kelembapan kulit, khasnya makanan yang mengandungi asid linolenik seperti kacang soya, minyak jagung, minyak zaitun dan salmon ketika bersahur atau berbuka puasa.

Baca juga : Merokok punca kulit kusam, mati pucuk

Baca juga : Rawat kulit kusam dengan ekstrak tumbuhan

“Namun, dari sudut pandangan saya, penggunaan pelembap secara terus atas kulit adalah cara yang lebih cepat untuk memberi nutrisi kepada kulit. Satu lagi, meski berpuasa, orang ramai perlu mendapatkan rehat yang secukupnya. Janganlah tidur lewat sangat,“ ujarnya.

Beritahu Dr Dyoi-E, kajian sahih menunjukkan, pembaikan badan dan kulit berlaku pada waktu malam.

Sekiranya kitaran tersebut terganggu lantaran kelambatan melenakan diri, kulit akan lebih cenderung untuk mengalami tekanan oksidatif (daripada pencemaran udara dan cahaya ultraviolet dari matahari).

Iklan

Sebelum menamatkan diskusi, beliau berkata, pada kelazimannya, untuk mereka yang mengalami masalah kulit kusam, selalunya akan diiringi dengan masalah bibir kering disebabkan lapisan kulit bibir yang lagi tipis.

SUMBER Tiana daripada PEXELS.

“Nasihat yang sama saya nak berikan kepada golongan ini, minum air kosong sebanyak boleh (semasa sahur atau iftar), pakai pelembap bibir yang sewajarnya.

“Pemilihan makanan juga penting sebab makan yang terlampau pedas dan masin turut boleh menyebabkan keradangan bibir teruk yang dikenali sebagai perioral dermatitis,“ katanya.

Pendekatan untuk melembapkan bibir dengan air liur mungkin tidak efisien, ujar Dr Dyoi-E.
“Praktis sedemikian cuma akan me ngeruhkan lagi keadaan sebab dalam air liur wujudnya enzim amylase yang mampu menyebabkan kulit kering dan menggelupas,“ ungkapnya.

Minyak kelapa, aloe vera, makanan probiotik bantu serlahkan kulit

Kulit merupakan organ terbesar yang kita miliki, maka wajarlah untuk menjaganya. Apabila kulit kusam, ia boleh menyebabkan mana-mana individu berasa kurang yakin.
Berdasarkan Healthline, laman web perubatan berprestij itu menyenaraikan beberapa sumber terbaik untuk menjaga rutin kecantikan dan penjagaan kulit. Ada di antara bahan-bahannya sudah tersedia di pantri dapur anda. Berikut antara yang dicadangkan mereka:

SUMBER Greta Hoffman daripada PEXELS.

1. Minyak kelapa dara
Minyak kelapa mempunyai ciri antiradang, antioksidan dan penyembuhan. Namun, pastikan anda tidak alergi dengan buah ini.
Boleh gunakannya dalam beberapa cara seperti menanggalkan alat solek.
Berdasarkan kajian, minyak kelapa ialah pelembap yang baik. Urut sedikit cecair itu ke muka anda. Biarkan ia meresap selama beberapa minit sebelum dibasuh dengan pembersih.

2. Aloe vera
Aloe vera mempunyai sifat penyembuhan dan boleh merangsang pertumbuhan sel baharu.
Ia juga melega dan melembapkan tanpa menyumbat pori-pori. Menggunakan lidah buaya selepas mencuci muka setiap hari boleh membuatkan kulit anda lebih bercahaya dan sihat.

3. Probiotik
Suplemen probiotik antara lain boleh membantu meningkatkan sistem imun, penghadaman dan keradangan.
Menurut satu kajian pada tahun 2014, probiotik boleh menyumbang kepada rambut yang sihat dan kulit akan kelihatan bersinar serta anjal.

4. Pendekkan tempoh masa mandi
Wap dan haba boleh membuka pori-pori dan membantu menyingkirkan toksin. Pun demikian, mengalirkan air panas ke atas kulit lebih dari beberapa minit pada satu-satu masa boleh menjadikan kulit nampak letih dan kusam.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi