TIDAK dinafikan dengan peredaran zaman sekarang, ramai yang gemar makan di restoran atau telefon khidmat penghantaran ke rumah berbanding masak sendiri atas sebab sibuk berkerja.

Oleh itu, pengusahan makanan sedaya upaya mengeluarkan pelbagai idea bagi menarik minat pelanggan.

Pelbagai hidangan istimewa disediakan, sebagai contoh perubahan dari segi saiz hidangan (combo/ big size).

Bukan itu sahaja, resipi makanan juga ditambah agar kelihatan lebih menyelerakan seperti penambah keju dalam burger, ais krim dalam air berkarbonat, salutan coklat dalam biskut manis dan sebagainya.

Sebenarnya, keperluan tenaga individu tidak bergantung kepada saiz hidangan, sebaliknya diukur daripada jumlah kalori yang sepatutnya diambil berdasarkan aktiviti, umur dan jantina setiap individu.

Pengambilan makanan yang mempunyai saiz hidangan yang besar melebihi daripada keperluan tenaga seseorang akan menyumbang kepada penambahan berat badan (obesiti).

Berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), tren berlebihan berat badan, obesiti dan obesiti abdomen terus meningkat iaitu pada tahun 2019 iaitu 50.1 peratus berbanding 48.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Lebih parah, ia menunjukkan bahawa 1 daripada 2 dewasa di Malaysia adalah dalam kategori berlebihan berat badan atau obes.

Iklan

Tinjauan NHMS pada tahun lalu juga mendapati, 29.8 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun berlebihan berat badan.

Ketahuilah, pelbagai penyakit yang boleh dikaitkan jika kita tergolong dari individu yang berlebihan berat badan atau obesiti dan obesiti abdomenan seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

Jadi, jangan tunggu lagi! Kawal kalori daripada hidangan bersaiz besar jika makan di luar dengan memperincikan beberapa perkara berikut:
1. Pilih menu ala carte berbanding set kombo
2. Berkongsi satu hidangan bersaiz besar dengan ahli keluarga lain
3. Gantikan minuman manis dengan air kosong
4. Utamakan hidangan yang mempunyai sayur-sayuran

Iklan

Ingat, pilihan di tangan kita dan hanya diri kita sendiri yang mampu mengatur jadual makan masing-masing.

Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.