PERKONGSIAN maklumat di media sosial bukan sahaja dapat menambah pengetahuan, tetapi melayari segala macam yang berada dalam dunia maya memang menghiburkan.

Jadi, disebabkan itulah ramai yang menjadi ketagih untuk mendapatkan bahan hiburan segera.

Pun demikian, menurut perkongsian Hello Doktor, hal itu boleh mengakibatkan seseorang mengalami kesihatan mental dan emosi.

 

Baca juga: Luahkan kemarahan di rage room adakah cara begini baik untuk kesihatan? Berikut penjelasannya

Baca juga: Facebook dan Instagram bakal ditutup bermula di Eropah ramai netizen bahas isu hak privasi pengguna 

Mana tidaknya, segelintirnya melihat media sosial sebagai medan untuk mempamerkan kebahagian, kemewahan dan status agar dapat menarik lebih banyak perhatian.

Tidak kurang juga yang sering memuat naik barangan berjenama yang dibeli dan secara terbuka memperlihatkan diri mereka menjalani kehidupan persis anak raja.

Jangan biarkan perkongsian di media sosial menjejaskan kualiti kehidupan.

Namun yang lebih menjengkelkan, luahan perasaan yang berbaur sakit hati, marah, perli atau segala emosi yang negatif.

Pun demikian, masih ada di antara kita yang masih melekat dengan media sosial walaupun berasa ‘annoying’ dengan apa konten yang dimuat naik oleh rakan-rakan, saudara-mara atau warga maya yang lain.

Jika itu terjadi, ia dinamakan sebagai anda sudah mengalami sindrom ketagihan.

Seperti kata Hello Doktor, ketagihan berlaku apabila seseorang tidak boleh meneruskan hari mereka tanpa melihat status atau sebarang perkongsian ‘rakan-rakan maya’.

Sementara itu, menurut Persatuan Perubatan Ketagihan Amerika Syarikat, ketagihan merupakan tingkah laku yang menjadi kompulsif atau berterusan, meskipun menyedari wujud kesan negatif.

Laporan Insider pula mengatakan, pada tahun 2017, sebanyak 20 peratus rakyat Amerika Syarikat mengakui berasa tertekan selepas menggunakan media sosial secara berteruran.

Sementara itu pada 2018 pula, rata-rata seseorang menghabiskan masa sekitar 144 minit untuk menggunakan media sosial dalam tempoh masa sehari.

Pakar bagaimanapun menasihatkan agar menghadkan masa sekitar 30 minit sehari demi menjamin kesihatan mental yang optimum.

Bagi mengatasi masalah itu, Pakar Penasihat Ketagihan keluarga New York, Amerika Syarikat, Lin Sternlicht memberikan beberapa cadangan agar dapat mengawal tahap obsesi terhadap penggunaan media sosial yang dipetik daripada Insider.

1. Buat jadual

Latih diri dengan cara menetapkan masa sekitar beberapa jam dalam seminggu untuk menggunakan media sosial. Cara ini dapat mendidik diri sendiri agar lebih berdisiplin.

2. Padam notifikasi atau aplikasi

Kebanyakan orang akan memeriksa telefon pintar mereka selepas mendapat notifikasi. Bagi mengelakkan hal itu, tutup sistem notifikasi terhadap sebarang aplikasi media sosial.

Cara lain untuk bebaskan diri adalah dengan padam aplikasi media sosial daripada telefon pintar korang. Senang dan mudah. Hidup juga boleh menjadi semakin tenang tanpa anasir negatif.

Iklan

3. Berhenti melekat 24 jam

Sebahagian individu menggunakan peranti pintar untuk menyelesaikan tugas mereka. Perkara itu memang benar! Namun, tidak bermakna kalian perlu menggunakannya sebagai alasan untuk akses media sosial.

Sebaiknya, tetapkan satu peranti untuk satu tujuan sahaja seperti komputer atau komputer riba digunakan untuk menyiapkan kerja, televisyen (menonton) dan telefon bimbit (membuat panggilan atau pesanan).

4. Kenal pasti waktu sesuai

Situasi ini sering berlaku ketika berhenti di lampu isyarat merah. Pasti ramai antara kita yang melakukannya.

Biarpun sekitar satu atau dua minit, seseorang tetap akan mencapai telefon semata-mata untuk melihat perkembangan ‘dunia’ media sosial masing-masing.

Begitu juga ketika sedang menyelesaikan tugas. Kadangkala ada yang sampai ‘terlajak’ dari tempoh masa ditetapkan hanya kerana asyik ‘bersosial’.

Iklan

Sekiranya perkara sebegini berlaku, korang perlu mula beri perhatian kepada diri sendiri terutama melibatkan penjagaan mental dan emosi.

5. Alih perhatian

Cuba cari hobi atau lakukan aktiviti yang menghiburkan atau dapat mengisi masa terluang. Lakukan aktiviti seperti bersukan, membaca buku atau meluangkan masa dengan keluarga dan kenalan.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu dalam menyelesaikan ketagihan yang dialami. Sekiranya keadaan semakin memburuk, jangan malu untuk mendapatkan nasihat atau rawatan pakar.

Selamat mencuba!

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram