SEORANG jurutera projek, Masrimie Shariff @ Mohamed Shariff atau mesra disapa sebagai Abe Remy gemar mencuba segala macam resipi yang dilihat atau dibacanya menerusi laman sosial. Lama-kelamaan, memasak sudah menjadi hobinya.

Salah satu percubaan resipinya yang menarik perhatian SinarPlus ialah Kuih Bengkang Roti Putih yang menjadi viral sedikit masa lalu di laman Facebook.

Melihat kepada senarai ramuan yang digunakan Abe Remy, ia ternyata berbeza dengan resipi asal yang selalunya menggunakan tepung gandum sebagai bahan asas.

Bukan bermaksud menolak kelaziman, tetapi apa yang ditransisikannya hanya satu perubahan kecil yang tidak terlalu menjejaskan rasa sajian tersebut.

“Rasa kuih air tangan saya mungkin sedikit berbeza, tetapi secara teknikalnya kalau kita kaji balik, roti putih turut diperbuat daripada tepung gandum.

“Secara tidak langsung, penggunaan tepung gandum tetap ada dalam hidangan kuih bengkang, meskipun menggunakan roti putih,” katanya yang saling bertukar pandangan dengan pengikutnya mengenai variasi resipi menarik di platform Instagram, Facebook dan TikTok.

Bercerita lanjut tentang kaedah penyediaan Kuih Bengkang Roti Putih, lelaki berusia 40 tahun itu berkata, untuk hidangan empat hingga lima orang makan, hanya memerlukan tujuh keping roti yang diracik kecil.

“Tekniknya sama saja dengan kuih bengkang biasa, namun resipi ini memerlukan kita menambah kepingan kecil roti putih,” ungkapnya.

Cuba juga: Paling senang nak buat, ini teknik buat kek batik ‘legend’ dengan limpahan badam dan coklat. Gerenti sedap!

Benar, kebanyakan resipi mengesyorkan santan segar yang diperah sendiri. Namun untuk resipi tular yang dimodenkan sedikit itu, tiada masalah jika menggunakan santan segera seperti yang terdapat di dalam kotak atau jenis serbuk.

“Santan berfungsi bagi memberi rasa lemak manis pada kuih itu. Berhati-hati ketika menambah garam dengan sukatan yang tepat, kita tak mahu santan terlalu masin,” katanya.

Dalam pada itu, Abe Remy berkongsi tip agar kuih yang dimasak tidak melekat tatkala dimasak di dalam acuan seperti loyang.

Iklan

“Sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar, pastikan loyang disapu dengan sedikit marjerin, kemudian letakkan bersama kertas pacmen pada bahagian dasarnya,” katanya.

Mengenai tempoh masa memasak dan suhu yang paling sesuai untuk dilaras, Abe Remy berkata, ia sebenarnya bergantung kepada jenama ketuhar yang diguna pakai.

“Saya biasanya akan bakar Kuih Bengkang Roti Putih lebih kurang 45 hingga 50 minit pada suhu170 darjah celcius.

“Tempoh masa dan tahap suhu ketuhar juga perlu diambil kira agar bahagian dalam dan luar kuih masak sekata termasuk mengelakkan daripada hangus,” ujar beliau.

Iklan

Sebelum menoktahkan bicara, Abe Remy berkongsi petua yang boleh diikuti oleh pembaca SinarPlus yang berkongsi resipi enak olahan jurutera itu.

“Antara kaedah yang saya lakukan untuk mendapatkan hasil kuih bengkang yang gebu dan lemak manis, saya akan mencairkan terlebih dahulu marjerin sebelum dimasukkan ke dalam adunan,” sarannya. – Nurul Fadila Awaludin

Baca juga: Buat sendiri puas hati, ini resipi donut susu gebu gebas viral

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.